Friday, September 26, 2008

PERSADA sertai MAPIM

Ipoh 21 September - PERSADA telah menghadiri pelancaran penubuhan Majlis Perunding Permuafakatan Islam Malaysia (MAPIM) yang diadakan di Dewan Besar Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, YB Dato’ Seri Ir. Mohd Nizar Bin Jamaluddin. PERSADA diwakili oleh Saudara Abdul Syakur Ibrahim yang merupakan Koordinator PERSADA bagi Kolej Perubatan Diraja Perak.

Majlis yang dianjurkan oleh Sekreteriat Jaringan Permuafakatan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Perak (JAMA’IY) ini dihadiri oleh pelbagai NGO Islam seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Yayasan Amal, Haluan dan beberapa lagi pertubuhan-pertubuhan Islam yang bersifat negeri.

Pertubuhan-pertubuhan Islam yang bergabung di dalam MAPIM ini bersetuju secara bersama dan sepenuhnya untuk menggerakkan MAPIM bagi menjadi badan induk umat Islam yang mempelopori pengamalan hidup Islam yang syumul serta memperjuangkan ketuanan Islam di Malaysia. Selain itu, semua pertubuhan-pertubuhan ini juga bersetuju untuk mengeratkan ukhuwah, perpaduan dan kerjasama yang berkesan di kalangan NGO Islam melalui interaksi dan gerak kerja bersama.

Melalui MAPIM juga, semua pertubuhan-pertubuhan Islam ini bersetuju membina penyelarasan fikrah melalui latihan kepimpinan dan perkaderan pemimpin NGO Islam secara berkala dan berpusat. Disamping itu, semua pertubuhan bersetuju untuk memobilasi, mengumpul dan berkongsi kekuatan yang ada di dalam NGO Islam terutamanya sumber manusia, sumber maklumat dan sumber ekonomi.

MAPIM juga akan mewujudkan kerjasama di antara Kerajaan, Organisasi Badan Kerajaan, organisasi Badan Bukan kerajaan di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

Berasaskan kepada tujuan dan matlamat yang digariskan ini, PERSADA menyokong penuh penubuhan MAPIM dan mengharapkan muafakat di antara pertubuhan-pertubuhan Islam di negara ini lebih diperkukuh-eratkan demi kemaslahatan umat Islam di negara Malaysia ini. PERSADA juga yakin dengan usaha-usaha murni mampu membentuk dan membina status ‘khairul ummah’ demi mencari keredhaan Allah s.w.t melalui tanzim yang munazzamah.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PERSADA sertai MAPIM"