Tuesday, September 9, 2008

Ramadhan di fasa “pengampunan”

Bismillahirrahmanirrahim,

Pujian itu milik Empunya persada alam ini, Pencipta hamparan yang merentang dari jihat timur ke barat, dan dari utara ke selatan, juga Raja yang mencacak gunungan dan bukit bukau sebagai pasak bumi, serta Dia yang meluaskan kurnia rezeki buat hamba-Nya dengan khazanah lautan tidak bertepi. Bersyukurlah kita dengan segala limpah rahmat-Nya di bumi ini, khasnya ketika mana Dia membangkitkan seorang Rasul sebagai rahmat terbesar buat sekalian alam, iaitu Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Nukilan firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” Firman Tuhan yang tidak perlu disangkal lagi kerana ayatnya begitu mudah dan jelas maksud, malah adalah sesuatu yang tidak dapat dimaafkan sekiranya tidak memahami fardu wajib ini. Jika diteliti, ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan sesuatu perkara wajib lazimnya menggunakan ayat-ayat yang apabila dibaca sekali sahaja, maka maksudnya akan terus jelas difahami. Inilah merupakan salah satu bukti kecintaan Allah kepada para hamba-Nya kerana Dia tidak pernah mahu membebankan kita, malah setiap apa yang diperintahkan adalah sesuai dengan kemampuan daya upaya kita.

Justeru, bersempena kedatangan bulan yang mulia ini, janganlah kita sering memeras akal mencari alasan untuk tidak berpuasa. Ramadan bulan mulia yang tidak sewajarnya ditakuti atau dijauhi, sebaliknya ia merupakan bulan yang penuh dengan janji-janji manis Allah kepada hamba-Nya yang mahu merebut tawaran dan ganjaran yang telah Dia janjikan. Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Ramadan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada azab api neraka.”

Ini merupakan fasa-fasa yang dilalui oleh kita dalam tempoh sebulan Ramadan, iaitu fasa yang dilimpahi rahmat, fasa keampunan atau maghfirah dan fasa pembebasan diri daripada api neraka. Sekarang kita telah melalui fasa kedua Ramadan, iaitu fasa keampunan. Kadangkala kita langsung tidak menyedari kewujudan fasa-fasa ini, lalu ibadat kita tidak mendapat pemfokusan yang tepat. Maka, ibadat kita menjadi tunggang-langgang dan pelbagai peluang keemasan yang sewajarnya direbuti, kita lepaskan begitu sahaja.

Perkara ini telah disebutkan sendiri oleh baginda Nabi melalui sabdanya: “Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang diberkahi. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa tidak memperoleh kebaikannya, maka dia tidak memperoleh apa-apa.” (H.R. Ahmad dan An-Nasa’i)

Dalam meniti fasa yang dijanjikan dengan maghfirah ini, kita digalakkan untuk melipatgandakan amalan seperti bertaubat, bersolat terawih, tadarus al-Quran, bersedekah, membantu anak yatim dan orang susah, serta amal-amal lain yang boleh mendekatkan diri kepada Allah, seterusnya berharap agar kita beroleh maghfirah-Nya menerusi amal-amal ikhlas yang kita lakukan. Cara mendekatkan diri kepada Allah itu pula boleh dilakukan dengan 1001 macam cara. Ia tidak sekadar tertumpu pada amal ibadat sahaja, malah mencakupi hal-hal yang berhubungan dengan hablun min al-nas, iaitu perhubungan sesama manusia.

Lalu, apa lagi yang kita tunggu? Usahlah kita terus-terusan melekakan diri sehingga Ramadhan ini terus berlalu. Kita tidak tahu apakah kunjungannya pada tahun ini merupakan kunjungannya yang terakhir, atau akan datangkah lagi ia menjenguk kita pada tahun hadapan dengan membawa ganjaran yang muluk-muluk dan indah?

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan, dan selamat berpuasa buat seluruh umat Islam. Rebutlah peluang beramal dalam bulan penuh kemuliaan ini, semoga kita sentiasa tergolong sebagai orang-orang yang tahu bersyukur. Sekian.

Mohd Faisal Bin Mustaffa,

Presiden penaja,

Persatuan Mahasiswa Darul Aman

(PERSADA).

www.faisalmustaffa.com

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Ramadhan di fasa “pengampunan”"