Friday, November 21, 2008

HKC desak Othman letak jawatan semula


SEBAHAGIAN ahli HKC berkumpul di pekarangan Stadium Darul Aman semalam bagi

mendesak Othman melepaskan semula jawatannya.

KELAB Penyokong Hijau Kuning (HKC) menyelar tindakan Datuk Othman Aziz yang menarik balik peletakan jawatannya sebagai pengurus pasukan bola sepak Kedah bagi musim 2009.

Pada 12 November lalu, Othman membuat keputusan mengejut apabila melepaskan jawatannya selepas dua musim membimbing Kedah dengan penuh cemerlang.

Namun dua hari kemudian, Othman menarik balik keputusannya itu, sekali gus menimbulkan pelbagai tanggapan di kalangan peminat setia skuad Hijau Kuning.

Timbalan Presiden HKC, Romzie Hassan berkata, Othman sewajarnya berpegang teguh dengan keputusan awalnya memandangkan dia kini dikaitkan dengan beberapa dakwaan penyelewengan dana Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) serta penyalahgunaan kuasa.

Dakwanya, arahan supaya Othman menarik balik peletakan jawatannya itu tidak dibuat oleh mesyuarat majlis KFA, sebaliknya hanya kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden KFA, Datuk Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Dakwa Romzie lagi, HKC juga tidak yakin Othman dapat menjalankan tugasnya dengan baik kerana dia dilaporkan tidak lagi bersama skuad Kenari sejak penghujung Liga Malaysia (Liga M) lalu.

"Jika seorang pengurus tidak bersama pasukan bagaimanakah dia dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik demi masa depan skuad ini.

"Bukan setakat itu, malah HKC juga menyoal beberapa tindakan Othman yang bertentangan dengan kemajuan pasukan," tegas Romzie ketika berkumpul bersama 20 ahli HKC yang lain di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Star semalam.

Jelas Romzie, antara tindakan Othman yang dipersoalkan ialah melepaskan bekas pemain tengah, Bunyamin Umar ke kelab UPB-MyTeam selain membenarkan Badrol Bakhtiar menimba pengalaman di Chelsea tanpa pengetahuan ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah.

"Selain itu, kami mempersoalkan mengapa beliau (Othman) membenarkan Zairol Fitree pulang ke negeri kelahirannya, Kelantan selepas beberapa bulan menyertai skuad Kenari.," kata Romzie.

Romzie berkata, HKC turut mencadangkan jawatan pengurus itu diberikan kepada Azraai yang telah mengemudi Kedah muncul juara treble dalam tempoh dua musim berturut-turut sebelum ini.

"Kami yakin jawatan ini hanya layak diberikan kepada Azraai memandangkan beliau berjaya menguruskan Kedah dengan baik ketika Othman menghilangkan diri sebelum ini," ujarnya.

sumber kosmo


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "HKC desak Othman letak jawatan semula"