Friday, November 21, 2008

KERAJAAN KEDAH TETAP TUNAIKAN JANJI

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR STAR, 18 November – Bertemakan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua, kerajaan negeri tidak mengabaikan kebajikan rakyat pada Bajet 2009.

Walaupun dalam ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan negeri tetap menunaikan janji kepada rakyat dengan melaksanakan program-program mengikut keperluan dan keutamaan serta mengamalkan sikap berbelanja secara berhemah, demikian ulasan Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dalam Ucapan Bajet 2009.

Selain daripada membincangkan isu-isu kemajuan dan pemodenan, kerajaan negeri juga berhasrat memantapkan modal insan dan pembangunan sosial bagi mengimbangi pembangunan negeri, seperti program agama, pendidikan moral, pelajaran, pembinaan sahsiah, kebajikan, perpaduan serta aktiviti sukan.

"Peruntukan sebanyak RM12.6 juta iaitu bertambah sebanyak RM1 juta disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membela golongan kurang bernasib baik dan penduduk ditimpa bencana, manakala sebanyak RM5.2 juta untuk aktiviti-aktiviti sukan dan program pembangunan atlit," jelas beliau.

Kerajaan negeri turut menitik beratkan sistem pendidikan negeri di mana kerajaan telah memperuntukkan sebahagian daripada hasil negeri kepada Lembaga Maktab Mahmud bagi pembangunan Maktab Mahmud, meningkatkan kedudukan Kolej Universiti Insaniah serta Lembaga Biasiswa Negeri Kedah untuk menyediakan pinjaman kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

"Sebanyak RM26.5 juta bagi membiayai operasi, bayaran asrama, kemudahan pembelajaran dan pengajaran serta RM2 juta untuk kerja-kerja membina dan menaiktaraf prasarana Maktab Mahmud.

"Bagi tahun 2009, Kolej Universiti Insaniah diperuntukkan sebanyak RM8.5 juta bagi melahirkan graduan berkualiti, merancang untuk membina sebuah kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di daerah Baling serta menyediakan RM2 juta kepada Lembaga Biasiswa Negeri Kedah bagi merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan graduan bagi setiap keluarga," ulas beliau.

Dalam memantapkan modal insan dan pembangunan sosial, kerajaan negeri turut menyokong program pendidikan sepanjang hayat yang berlandaskan ajaran Islam, ianya bermula daripada dari zaman kanak-kanak serta memberi bantuan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil persendirian.

"Kerajaan, menyediakan RM4.2 juta kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah bagi menyediakan lebih banyak bahan bacaan kepada rakyat serta peruntukan tambahan sebanyak RM4.1 juta disediakan untuk pembayaran gaji dan elaun guru-guru Sekolah Menengah Agama, Taska dan Kafa, kemudahan pra sekolah yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam.

"Kerajaan prihatin kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil Persendirian dan memutuskan untuk memberi bantuan kewangan tahunan kepada sekolah-sekolah berkenaan," tambah beliau.

Jentera pentadbiran negeri yang efisyen, terlatih dan cekap adalah diperlukan bagi menjayakan semua program pembangunan negeri. Oleh yang demikian, kerajaan telaj memperuntukkan Bajet 2009 bagi memperkukuhkan jentera pentadbiran negeri.

"Bagi tahun 2009, kerajaan memperuntukkan RM206.7 juta bagi bayaran emolumen kakitangan kerajaan, RM4.25 juta untuk peningkatan kemudahan serta penyelenggaraan ICT jabatan-jabatan kerajaan.

"RM1 juta bagi meningkatkan kemahiran, kecekapan dan inegriti kakitangan kerajaan serta RM600 ribu bagi rawatan perubatan kakitangan yang berkaitan," jelas beliau.

Institusi penghulu berperanan dalam memelihara kesejahteraan rakyat di peringkat mukim, maka kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM7.3 juta kepada Ketua Kampung dan Ketua Komuniti dengan bayaran elaun sebanyak RM300 sebulan.

Posted by Warta Darul Aman Daily

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "KERAJAAN KEDAH TETAP TUNAIKAN JANJI"