Friday, November 21, 2008

Ladang babi tidak dibuka di Bukit Selambau

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI


ALOR STAR 20 Nov. - Ladang babi moden secara berpusat tidak akan dibuka di Bukit Selambau selepas tidak mendapat kebenaran Jabatan Veterinar, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Menurut beliau, jabatan berkenaan membuat keputusan itu setelah melihat daripada beberapa sudut teknikal.

''Sebenarnya, kelulusan tapak di Bukit Selambau adalah keputusan kerajaan terdahulu, kita cuma menghormatinya tetapi semalam Jabatan Veterinar tak benarkan, jadi ia tidak jadi di kawasan itu,'' jelas beliau.

Menteri Besar itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menggulung perbahasan Bajet 2009 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-12 di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai pembukaan ladang babi moden di kawasan Bukit Selambau yang turut disentuh dalam persidangan DUN negeri ini.

Menurut Azizan, atas sebab teknikal itu, kemungkinan tapak lain yang lebih sesuai dan tidak menjejaskan keselesaan semua pihak akan dicari.

''Kita kena lihat sama ada pembukaan ladang penternakan babi ada bantahan atau tidak daripada orang ramai, sebab itu kena cari kawasan sesuai jauh dari penduduk," jelas beliau.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Ladang babi tidak dibuka di Bukit Selambau"