Friday, November 21, 2008

Pelaburan Kedah meningkat RM28b

oleh Utusan

ALOR STAR 20 Nov. - Unjuran pelaburan negeri Kedah mencatat peningkatan RM28 bilion pada tahun ini berbanding RM13.99 bilion pada 2007.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Bioteknologi, Pembangunan Usahawan dan Sains dan Inovasi Negeri, Amiruddin Hamzah memberitahu, sebahagian besar adalah daripada pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

''Jumlah pelaburan yang dibawa masuk pada separuh pertama 2008 iaitu dari Januari hingga Ogos mencatat RM2.486 bilion," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (BN-Guar Chempedak) bertanyakan tentang unjuran pelaburan di negeri ini bagi 2008 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-12 di sini hari ini.

Amiruddin menjelaskan, bagi meningkatkan pelaburan di KHTP dan kawasan-kawasan lain, kerajaan negeri menyusun pelbagai strategi termasuk penyediaan infrastruktur.

Menurut beliau, Kedah masih menjadi pilihan kerana ia mempunyai tanah untuk pelaburan di samping jumlah tenaga kerja yang mencukupi termasuk di kalangan anak-anak tempatan.

''Di utara, Kedah menjadi pilihan kerana tanah masih murah dibandingkan dengan negeri jiran Pulau Pinang manakala Perlis mempunyai keluasan tanah yang terbatas," kata beliau.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya turut menghadapi pelbagai masalah yang perlu diatasi termasuk menjamin keselamatan pelabur-pelabur khususnya dari luar negara.

Sehubungan itu, kata beliau, sebuah balai polis perlu dibina di KHTP bagi memastikan para pelabur merasa selamat untuk melabur di kawasan berkenaan.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Pelaburan Kedah meningkat RM28b"