Friday, September 26, 2008

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri


Bismillahirrahmanirrahim,

Puji dan syukur itu hanya ke hadrat Allah yang menguasai langit dan bumi, daratan dan lautan, bahkan seluruh jumantara alam ini. Dia yang mengurniakan nikmat dan rezeki, hikmat dan kebijaksanaan buat warga dunia dalam menyusuri sebuah denai bernama “kehidupan.” Segala pengabdian dan keserahan selayaknya milik Allah semata. Selawat dan kasih juga buat Junjungan Rasul tercinta; tidak pernah jemu dan lelah membimbing umat ini cara pendakian ke syurga, agar kelak kita dapat bersama-sama menghirup dingin dan enaknya secangkir minuman dari telaganya.

Alhamdulillah, kita masih lagi diberi nafas buat menyedut udara segar hari raya yang penuh keberkatan. Hari ini sewajarnya didendangi dengan alunan hamdalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada-Nya. Sebagaimana yang dinukilkan oleh Ar-Rahman dengan firman-Nya:

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

Hari raya merupakan hari kebesaran orang Islam. Ia diraikan sebagai hari kemenangan kita dalam menewaskan hawa nafsu dan perkara-perkara keji dalam tempoh sebulan Ramadan yang baru berlalu. Justeru, umat Islam telah diperintahkan untuk membesarkan hari ini dengan cara keluar beramai-ramai menunaikan sembahyang hari raya. Sabda baginda Nabi:

Diriwayatkan daripada Ummi ‘Atiyyah r.a., katanya: “Kami telah diperintahkan supaya keluar pada hari raya sehinggakan anak-anak pingitan dan diperintahkan juga wanita-wanita yang sedang haid supaya keluar, lalu berada di belakang kaum lelaki dan bertakbir mengikut takbir mereka serta berdoa dengan doa mereka dengan mengharap keberkatan pada hari raya serta kesuciannya.”

Bergelar seorang mahasiswa, kita seharusnya menyambut Aidilfitri ini dengan suasana penuh intelek dan adab. Hal ini kerana gelaran ‘mahasiswa’ itu sendiri telah meletakkan kita pada suatu taraf keilmuan yang tinggi. Perkara ini tidak harus dipandang enteng kerana segala kekhilafan dan salah tingkah yang kita lakukan akan terus mencorak pemikiran dan persepsi masyarakat terhadap mahasiswa secara keseluruhannya. Sebagai contoh, seorang mahasiswa haruslah tidak menyambut Aidilfitri ini sebagai seorang hedonis. Meskipun diakui bahawa darah muda sentiasa terpikat pada fenomena penuh hiburan, namun bukanlah dengan cara melolong, melakak dan berdansa sehingga mengkesampingkan nilai-nilai Islam dan adat-adat ketimuran yang penuh sopan dan adab. Ia bukan selayaknya dilakukan oleh seorang mahasiswa yang memiliki ilmu yang tinggi.

Seorang mahasiswa yang menanam ilmu di dadanya ialah seseorang yang mempraktikkan adab dan akhlak seperti yang disarankan oleh al-Quran. Ketibaan Aidilfitri disambut penuh syukur dan keinsafan, sopan-santun dan berkasih sayang. Allah berfirman dalam Surah al-Nahl, ayat 90:

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Mahasiswa yang memerhati serta menghayati firman Allah ini pasti akan memenuhi detik-detik Aidilfitri dengan sentiasa berbuat kebaikan kepada kaum keluarga, tolong-menolong pada hari raya, bersedekah kepada orang yang memerlukan meski kepada kanak-kanak yang berkunjung ke rumah semata-mata menuntut duit raya, serta dalam masa yang sama tidak lalai dan leka dengan hiburan-hiburan yang mengalpakan, bahkan juga tidak mengikut hawa nafsu, terutamanya nafsu makan yang sentiasa memuncak ketika menghadap sajian yang enak dan lazat.

“Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” Al-A’raf: 31

Justeru, hiasilah Aidilfitri yang berkunjung sekali dalam setahun ini dengan amalan-amalan yang bermanfaat. Pulanglah ke kampung berhari raya bersama keluarga dan saudara-mara bagi mengeratkan silaturrahim. Walau sesibuk mana pun kita, usahlah menjadikan kesibukan itu sebagai alasan, kerana Rasulullah sendiri menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dan sahabat-handai baginda, sedangkan baginda merupakan orang yang lebih sibuk; sebagai utusan Allah dan seorang pemimpin negara. Apatah pula kita yang hanya menyandang jawatan-jawatan kecil di kampus sahaja?

Untuk akhirnya, nikmatilah Hari Raya Aidilfitri ini sebagai suatu tanda kemenangan kita menewaskan hawa nafsu dalam Ramadan yang telah berlalu. Semoga kunjungannya kali ini menjadikan kita sentiasa insaf dan bermuhasabah serta lebih bersyukur.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
Presiden Penaja,

http//:faisalkini.blogspot.com.
baca lagi...

PERSADA sertai MAPIM

Ipoh 21 September - PERSADA telah menghadiri pelancaran penubuhan Majlis Perunding Permuafakatan Islam Malaysia (MAPIM) yang diadakan di Dewan Besar Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, YB Dato’ Seri Ir. Mohd Nizar Bin Jamaluddin. PERSADA diwakili oleh Saudara Abdul Syakur Ibrahim yang merupakan Koordinator PERSADA bagi Kolej Perubatan Diraja Perak.

Majlis yang dianjurkan oleh Sekreteriat Jaringan Permuafakatan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Perak (JAMA’IY) ini dihadiri oleh pelbagai NGO Islam seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Yayasan Amal, Haluan dan beberapa lagi pertubuhan-pertubuhan Islam yang bersifat negeri.

Pertubuhan-pertubuhan Islam yang bergabung di dalam MAPIM ini bersetuju secara bersama dan sepenuhnya untuk menggerakkan MAPIM bagi menjadi badan induk umat Islam yang mempelopori pengamalan hidup Islam yang syumul serta memperjuangkan ketuanan Islam di Malaysia. Selain itu, semua pertubuhan-pertubuhan ini juga bersetuju untuk mengeratkan ukhuwah, perpaduan dan kerjasama yang berkesan di kalangan NGO Islam melalui interaksi dan gerak kerja bersama.

Melalui MAPIM juga, semua pertubuhan-pertubuhan Islam ini bersetuju membina penyelarasan fikrah melalui latihan kepimpinan dan perkaderan pemimpin NGO Islam secara berkala dan berpusat. Disamping itu, semua pertubuhan bersetuju untuk memobilasi, mengumpul dan berkongsi kekuatan yang ada di dalam NGO Islam terutamanya sumber manusia, sumber maklumat dan sumber ekonomi.

MAPIM juga akan mewujudkan kerjasama di antara Kerajaan, Organisasi Badan Kerajaan, organisasi Badan Bukan kerajaan di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

Berasaskan kepada tujuan dan matlamat yang digariskan ini, PERSADA menyokong penuh penubuhan MAPIM dan mengharapkan muafakat di antara pertubuhan-pertubuhan Islam di negara ini lebih diperkukuh-eratkan demi kemaslahatan umat Islam di negara Malaysia ini. PERSADA juga yakin dengan usaha-usaha murni mampu membentuk dan membina status ‘khairul ummah’ demi mencari keredhaan Allah s.w.t melalui tanzim yang munazzamah.
baca lagi...

MAHASISWI SEBAGAI AGEN DAN PENCETUS PERUBAHAN DALAM KALANGAN WANITA

Mahasiswi merupakan golongan terpelajar dan golongan yang terpilih untuk memperdalam ilmu di kolej-kolej, kampus-kampus, universiti-universiti dan apa jua gelaran institut-institut pengajian yang dapat disama ertikan dengan gedung menimba ilmu di seluruh pelosok dunia ini. Mahasiswi sebenarnya secara tidak langsung telah menggalas satu amanah yang sangat besar, yang terpikul di atas pundak mereka iaitu mereka harus menyampaikan dan mempraktikkan ilmu-ilmu yang telah mereka timba dan mereka perolehi demi untuk kepentingan masyarakat amnya dan wanita khasnya.


Kesedaran dan tanggungjawab bahawa isu wanita harus dibela perlulah ditanam dan disemai dalam diri semua mahasiswi. Isu-isu wanita seperti hak penjagaan anak, hak mendapat harta pusaka, hak mendapat harta sepencarian, perceraian, penderaan oleh suami, wanita dirogol, dibunuh, kanak-kanak perempuan diculik dan pelbagai lagi isu dan hak wanita yang perlu diambil perhatian dan dipandang serius perlulah dicakna oleh setiap mahasiswi. Hal ini disebabkan tidak terdapatnya golongan yang mampu membela dan menuntut hak-hak wanita yang terabai melainkan golongan mahasiswi sendiri.

Tidak dinafikan terdapat badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan sukarelawan yang tampil untuk membela hak-hak wanita, contohnya Sisters In Islam (SIS). SIS dilihat sangat gah dan hebat dengan namanya yang islamik dan tindakan-tindakannya yang agresif, yang kononnya membela hak wanita. Akan tetapi, tidakkah disedari bahawa di sebalik keindahan nama SIS yang mencerminkan keislaman dan kewibawaan dalam membela hak-hak wanita sebenarnya telah memalit kotoran kepada Islam sendiri apabila mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang indah dan fleksibel.

Tindakan golongan sebegini wajib disekat dan dihentikan agar Islam tidak dipermainkan dan dipijak-pijak oleh mereka yang buta hidayah serta berlagak tahu dan arif tentang hukum-hukum Islam. Maka, siapakah yang layak menentang golongan ini jika bukan mahasiswi sekalian? Jelas di sini betapa pentingnya peranan mahasiswi sebagai golongan intelektual dan cendekiawan dalam membela dan mencetus arus perubahan kepada kaum wanita di negara ini. Mahasiswi tidak hanya cakna dengan isu kemahasiswaan bahkan isu-isu wanita turut dijadikan agenda utama dalam perbincangan mereka kerana mahasiswi juga adalah wanita!

Dalam usaha untuk merealisasikan mahasiswi sebagai agen pencetus perubahan dalam kalangan wanita, perlulah mahasiswi itu sendiri mempersiapkan diri mereka ke arah itu. Kepekaan kepada isu yang berlaku di sekeliling mereka, penguasaan dalam bidang penulisan, pengucapan awam dan multi media amatlah penting dan merupakan kriteria-kriteria utama yang perlu dikuasai oleh setiap mahasiswi. Memetik kata-kata Naib Presiden Gamis, Saudari Rafidah Salleh dalam tulisannya yang bertajuk ‘Muslimat dan Elemen “MP3” ‘, beliau menyeru para siswi agar menguasai elemen “MP3” iaitu Multi media, Public speaking, Penulisan dan Peka isu. Begitu menarik sekali formula ini, pendek tetapi membawa maksud yang sangat besar dan mendalam kepada mereka yang bergelar mahasiswi. Beliau sendiri merupakan ikon MP3 yang terbaik dan wajar dicontohi oleh semua mahasiswi di seluruh kampus di negara ini.

Justeru, peranan mahasiswi sebagai juru bicara ummah terutamanya kepada golongan wanita tidak boleh dipandang enteng dan remeh. Wanita merupakan aset penting negara kerana bilangan wanita yang ramai pada akhir zaman ini memberikan keistimewaan kepada mereka dalam pelbagai perkara bahkan pemilihan tampuk kepimpinan negara juga ditentukan melalui undi daripada wanita. Wanita adalah insan istimewa yang diciptakan Allah Ta’ala dengan kekuatan emosi dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran melebihi kaum lelaki. Terkadang kaum lelaki amat susah untuk mendalami dan memahami seorang wanita kerana hanya wanita sahaja yang memahami wanita. Allah SWT memuliakan kaum wanita sehingga banyak sekali hal-hal wanita disebut di dalam Al-Qur’an tidak seperti mana kaum lelaki yang hal mereka lebih banyak disebut secara umum. Bergembiralah anda kerana menjadi seorang wanita dan bertambah lagi kegembiraan anda jika anda adalah seorang mahasiswi atau dalam erti kata lain adalah seorang wanita yang masih muda, yang masih kuat lagi kuat kudrat dan akal fikirannya untuk memberi sumbangan masa, tenaga dan buah fikiran untuk agama yang sangat-sangat kita cintai, ISLAM.

Nur Hafizah Bin Yaacob
Koordinator PERSADA,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
Kampus Kuantan, Pahang.

Tersiar dalam siasah
baca lagi...

Kerajaan Negeri Kedah sokong penubuhan PERSADA

Petaling Jaya, 14 September: Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) telah membuat pertemuan bersama-sama dengan wakil kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Pertemuan tersebut diadakan selepas sesi perjumpaan wakil kerajaan Negeri bersama mahasiswa Kedah di kawasan Lembah Klang.

Di dalam perjumpaan tersebut, Presiden Penaja PERSADA saudara Mohd Faisal Bin Mustaffa memberikan penerangan secara terperinci berkenaan PERSADA kepada wakil kerajaan negeri. Selain memberikan Kertas Kerja Cadangan penubuhan PERSADA, beliau juga menyerahkan Kertas Kerja Cadangan Himpunan Mahasiswa Darul Aman yang di cadangkan untuk di adakan pada hujung tahun ini.


Cadangan yang dilontarkan ini mendapat respon yang baik daripada YB. DR Ismail Bin Salleh, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Penerangan dan Pembangunan Insan. Beliau menyatakan kesediaan diperingkat Kerajaan Negeri untuk memberikan kerjasama kepada mahasiswa bagi menjayakan agenda pembangunan insan di peringkat negeri. Beliau juga menyokong dan mengalu-alukan kewujudan PERSADA dalam membantu kerajaan Negeri Kedah.

Selain itu pandangan mahasiswa ini juga mendapat respon yang baik daripada Ustaz Salim dan Saudara Rosidi yang turut hadir di dalam perjumpaan tersebut.

Di akhir perbincangan tersebut, PERSADA menyerahkan surat kepada Dr Ismail bagi mengadakan pertemuan secara rasmi bersama pihak kerajaan Negeri dan PERSADA. – www.siswakedah.com
baca lagi...

Wednesday, September 10, 2008

Pesta Ramadhan...

Assalamulaikum , Salam Ramadhan karim.

Ramadhan dating lagi, dan kita sudah masuk ke fasa yang kedua. Fasa ini kita dijanjikan pengampunan daripada Allah swt. Dan pada fasa ini kita sebolehnya perlu memperbanyakkan amalan dan taubat kita untuk dosa-dosa kita yang telah lalu. Kita perlu yakin bahawa sebanyak mana pon dosa kita, pengampunan Allah itu adalah lebih besar. Biar pon kita ini telah berulang kali melakukan dosa tersbut, namun selagi mana ada keinsafan dalam diri kita insyaallah akan diampunkan.


Walau bagaimana pun, senario pada hari ini menampakkan bahawa kita tidak terasa dengan kedatangan Ramadhan. Jika kita merenung sejenak kembali ke zaman kebangkitan Islam, Sahabat-sahabat rasulullah sentiasa ternanti-nanti kedatangan Ramadhan. Apa lagi Rasulullah sendiri. Mereka menyambut dan mengimarahkan Ramadhan bagikan ramadhan adalah pesta besar. Masing-masing sibuk ingin mencari kesempatan untuk beribadah kepada Allah. Mereka kemudiannya meninggalkan Ramadhan dengan perasaan yang sedih. Masing-masing tertanya-tanya adakah mereka bakal bertemu dengan Ramadhan akan datang atau tidak.



Lain pula halnya kita pada hari ini. Masing-masing ternanti-nanti Ramadhan. Masing-maasing apakah yang akan dijual pada pesta Ramadhan kali ini. Yang tidak minat dengan perniangaan berfikir apakah juadah untuk berbuka pada petang nanti. Pada malamnya, kita sibuk dengan hal-hal lain serta manyelesaikan kerja dan tugasan yang belum siap, kerana pada siang harinya kita isikan dengan tidur sepanjang hari. Maklumlah, tidur itu ibadah… kita juga menjadikan Ramadhan ini sebagai alas an untuk mengalak daripada sesuatu hal yang agak berat untuk dilakukan. Pada hal, kita malas…


Merenung ke dalam diri sendiri, marilah kita bersama mencari apakah terdapat bintik-bintik hitam kekotoran pada diri kita. Sekiranya ada, marilah kita menggunakan Ramadhan ini sebagai pentas atau medan untuk kita cucikannya. Moga-moga dengan ikhtiar kita yang sedikit ini dapat mengundang dan menarik hidayah Allah itu mendekati kita, seterusnya lekat mendasar dilubuk hati. Bagi yang tidak Berjaya bangun malam, jadikanlah Ramadhan ini sebagai latihan untuk bangun malam. Jangan kita jadikan ramadhan ini sebagai alas an untuk memuaskan nafsu yang yang telah lama dilatih secara intensif oleh leftenan dan sarjan jeneral syaitan dan iblis. Semoga kita beroleh anfaat.

Oleh: Mohd Fariiqul Amin bin Mohd Rosli
B. Sc. (Islamic Studies)
UTM Skudai
baca lagi...

Tuesday, September 9, 2008

Mahasiswa syor kerajaan negeri hidupkan rumah ibadat dengan kuliah “faham Islam”

Cadangan kerajaan Negeri Kedah Darul Aman yang mahu menjadikan usrah sebagai salah satu daripada program pembangunan insan di negeri ini sebagai salah satu langkah yang cukup baik. Langkah yang dimulakan dengan melaksanakan usrah dalam kalangan anggota mesyuarat kerajaan negeri (Exco), ketua-ketua jabatan, pegawai daerah Pegawai Tadbir Negeri (KCS) dan diikuti dengan penghulu serta ketua-ketua kampong merupakan satu contoh yang terbaik yang harus dipuji.

Melihat kepada perkembangan positif ini, mahasiswa yakin dan optimis bahawa penerapan nilai-nilai faham Islam kepada pihak pentadbiran negeri akan berjaya dilaksanakan sedikit masa lagi. Ini bagi membolehkan dasar-dasar pentadbiran negeri yang berteraskan lunas-lunas Islam difahami di setiap peringkat.

Namun begitu, kami diperingkat mahasiswa mencadangkan, apa yang perlu dipercepatkan untuk dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri selepas ini adalah dengan menghidupkan masjid-masjid dan surau-surau di kampung dengan kuliah dan pengisian yang perlu diberi nafas baru. Sewajarnya pihak berwajib menyusun jadual pengajian di masjid dan surau yang “mati” ini bagi memastikan kefahaman Islam secara menyeluruh dapat disampaikan kepada masyarakat bawahan.

Terdapat banyak masjid terutamanya dikawasan-kawasan kampung “mati” daripada kelas pengajian agama. Hal demikian kerana masjid tersebut tidak mampu menanggung kos untuk menjemput penceramah secara berkala.

Berbanding di ibu kota, kuliah-kuliah yang berbentuk kefahaman dan haraki di sampaikan secara berterusan dimasjid-masjid dan surau-surau yang mempunyai ramai pendokong perjuangan Islam. Penceramah di sekitar Kuala Lumpur yang mempunyai kefahaman gerakan ini dipecahkan dan disusun perjalanan kuliah mereka bagi memastikan tempat ibadat terus di hidupkan. Bahkan bayaran bagi setiap kali kuliah berbentuk haraki ini hanyalah sekadar RM80-RM 100 bagi setiap malam.

Bukan soal bayaran yang saya ingin ketengahkan, tetapi sewajarnya pihak kerajaan negeri menyusun dengan lebih terancang para ustaz yang mampu berbicara soal gerakan untuk diserapkan kefahaman Islam kepada peringkat akar umbi.

Bukan hanya menjadikan masjid dan surau sebagai tempat solat semata-mata, tetapi mampu menjadikan masjid dan surau sebagai tempat menyatupadukan masyarakat dan membina modal insan yang cemerlang berteraskan nilai-nilai Islam yang syumul.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
Presiden Penaja PERSADA
http//:faisalmustaffa.com
baca lagi...

Ramadhan di fasa “pengampunan”

Bismillahirrahmanirrahim,

Pujian itu milik Empunya persada alam ini, Pencipta hamparan yang merentang dari jihat timur ke barat, dan dari utara ke selatan, juga Raja yang mencacak gunungan dan bukit bukau sebagai pasak bumi, serta Dia yang meluaskan kurnia rezeki buat hamba-Nya dengan khazanah lautan tidak bertepi. Bersyukurlah kita dengan segala limpah rahmat-Nya di bumi ini, khasnya ketika mana Dia membangkitkan seorang Rasul sebagai rahmat terbesar buat sekalian alam, iaitu Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Nukilan firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” Firman Tuhan yang tidak perlu disangkal lagi kerana ayatnya begitu mudah dan jelas maksud, malah adalah sesuatu yang tidak dapat dimaafkan sekiranya tidak memahami fardu wajib ini. Jika diteliti, ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan sesuatu perkara wajib lazimnya menggunakan ayat-ayat yang apabila dibaca sekali sahaja, maka maksudnya akan terus jelas difahami. Inilah merupakan salah satu bukti kecintaan Allah kepada para hamba-Nya kerana Dia tidak pernah mahu membebankan kita, malah setiap apa yang diperintahkan adalah sesuai dengan kemampuan daya upaya kita.

Justeru, bersempena kedatangan bulan yang mulia ini, janganlah kita sering memeras akal mencari alasan untuk tidak berpuasa. Ramadan bulan mulia yang tidak sewajarnya ditakuti atau dijauhi, sebaliknya ia merupakan bulan yang penuh dengan janji-janji manis Allah kepada hamba-Nya yang mahu merebut tawaran dan ganjaran yang telah Dia janjikan. Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Ramadan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada azab api neraka.”

Ini merupakan fasa-fasa yang dilalui oleh kita dalam tempoh sebulan Ramadan, iaitu fasa yang dilimpahi rahmat, fasa keampunan atau maghfirah dan fasa pembebasan diri daripada api neraka. Sekarang kita telah melalui fasa kedua Ramadan, iaitu fasa keampunan. Kadangkala kita langsung tidak menyedari kewujudan fasa-fasa ini, lalu ibadat kita tidak mendapat pemfokusan yang tepat. Maka, ibadat kita menjadi tunggang-langgang dan pelbagai peluang keemasan yang sewajarnya direbuti, kita lepaskan begitu sahaja.

Perkara ini telah disebutkan sendiri oleh baginda Nabi melalui sabdanya: “Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang diberkahi. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa tidak memperoleh kebaikannya, maka dia tidak memperoleh apa-apa.” (H.R. Ahmad dan An-Nasa’i)

Dalam meniti fasa yang dijanjikan dengan maghfirah ini, kita digalakkan untuk melipatgandakan amalan seperti bertaubat, bersolat terawih, tadarus al-Quran, bersedekah, membantu anak yatim dan orang susah, serta amal-amal lain yang boleh mendekatkan diri kepada Allah, seterusnya berharap agar kita beroleh maghfirah-Nya menerusi amal-amal ikhlas yang kita lakukan. Cara mendekatkan diri kepada Allah itu pula boleh dilakukan dengan 1001 macam cara. Ia tidak sekadar tertumpu pada amal ibadat sahaja, malah mencakupi hal-hal yang berhubungan dengan hablun min al-nas, iaitu perhubungan sesama manusia.

Lalu, apa lagi yang kita tunggu? Usahlah kita terus-terusan melekakan diri sehingga Ramadhan ini terus berlalu. Kita tidak tahu apakah kunjungannya pada tahun ini merupakan kunjungannya yang terakhir, atau akan datangkah lagi ia menjenguk kita pada tahun hadapan dengan membawa ganjaran yang muluk-muluk dan indah?

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan, dan selamat berpuasa buat seluruh umat Islam. Rebutlah peluang beramal dalam bulan penuh kemuliaan ini, semoga kita sentiasa tergolong sebagai orang-orang yang tahu bersyukur. Sekian.

Mohd Faisal Bin Mustaffa,

Presiden penaja,

Persatuan Mahasiswa Darul Aman

(PERSADA).

www.faisalmustaffa.com
baca lagi...

Sunday, September 7, 2008

PERSADA: Disinilah permulaan kita

Alhamdulillah, mahasiswa Kedah sudah semakin melangkah kehadapan dengan penubuhan Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA). Sekaligus menjadi NGO yang kedua ditubuhkan oleh mahasiswa anak negeri.

Untuk informasi bersama, NGO yang pertama adalah BERSATU Perak yang menjadi faktor pemangkin kearah penubuhan PERSADA ini.

Dengan matlamat mengumpulkan seluruh mahasiswa Kedah Darul Aman, kita mengharapkan agar atas kesepakatan ini, ukhuwah dan mahabbah (kasih sayang) antara mahasiswa anak Kedah dapat dipupuk-suburkan sesubur lautan kehijauan sawah yang terpamer di bumi Jelapang Padi ini.

Ukhuwah yang utuh dan mantap mampu mewujudkan rasa kebersamaan sesama kita juga mampu memberi kekuatan untuk kita mendepani cabaran yang bakal kita lalui kelak. Semoga kita dapat mengeratkan ukhuwah dan menggerakkan islah untuk diri kita.

Di atas kesepakatan ini juga telah membuktikan bahawa mahasiswa benar-benar mahu menyumbang sesuatu baik dari segi tenaga mahupun kritik dan saran yang bernas dari pelbagai aspek yang bermanfaat untuk kesejahteraan rakyat Kedah . PERSADA akan menjadi agen check and balance bagi kerajaan negeri Kedah, memperjuangkan hak, isu serta kepentingan mahasiswa dan masyarakat sekaligus membentuk mahasiswa minda dan jiwa negarawan.

Sesungguhnya, suara mahasiswa tidak boleh dipandang sepi dan enteng. Suara mahasiswa perlu dipandang serius dan diambil berat. Lontaran idea kritis lagi bernas daripada mahasiswa mampu menjadikan sesebuah kerajaan lebih cemerlang. Sebaliknya, amarah dan emosi mahasiswa mampu menggoncang sesebuah kerajaan.

Sahabat-sahabat anak Kedah sekalian,

Disinilah titik permulaan kita. Kitalah yang bakal mencorakkan negeri ini dan Malaysia pada masa depan. Rosak mahasiswa maka punahlah negara pada masa depan, hebat mahasiswa pada masa kini maka sejahteralah negara pada masa depan.

Kitalah harapan bangsa dan negara dalam mendepani cabaran yang mendatang. Justeru itu, ayuhlah bersama PERSADA memacu mahasiswa Kedah kearah membentuk mahasiswa minda dan jiwa negarawan.

Abdul Syakur Bin Ibrahim
http://syakuribrahimblog.blogspot.com/
baca lagi...

Hidup seorang Pejuang

Oleh: Mohd Fariqul Amin Bin Mohd Rosli
Koordinator Penerangan PERSADA

Assalamualaikum.

Hidup sebagai seorang pejuang memang memerlukan banyak pengorbanan. pengorbanan tersebut tidak kira sama ada dari segi masa, kewangan, harga diri dan sebagainya. Pengorbanan dari segi masa memang perlu kita sedia maklum. Gerak dakwah Islam tidak akan terlaksana sekiranya umat Islam tidak mahu meluangkan masa untuk terlibat dalam gerak kerja Islami. kita perlu tahu bahawa harakah dakwah tidak akan terlaksana selagi mana seseoang itu masih berada di kamarnya atau dalam kata yang mudah, tidak berganjak dari tempat tidurnya. Kita dapat lihat bagaimana Al Syahid Syeikh Ahmad Yasin yang kita sedia maklum akan keadaannya yang lumpuh namun beliau tetap keluar dari tempat tinggalnya untuk tujuan menyeru manusia kepada kesatuan dan bergerak memartabatkan Islam. Dan hasilnya HAMAS telah mempu menggerunkan pihak musuh Islam. Padahal pemimpin nombor satunya adalah seorang yang lumpuh.

Hal inilah yang telah saya bicarkan bahawa untuk terlibat sebagai seorang daie atau pemuda yang memperjuangkan Islam, seseorang itu tidak dapat tidak, secara pasti dan pastinya mereka perlu turun dan bersama dengan harakah yang ada. Selagi mana kita(umat Islam) hanya tahu bercakap dan berhujjah bersama rakan di bilik atau di kedai kopi, tetapi keterlibatan bersama harakahnya tidak ada, maka mereka itu hanyalah seperti meniup bangunan KLCC supaya runtuh... Secara logikanya, tidak mungkin dengan kekuatan tiupan angin dari mulut itu dapat meruntuhkan keteguhan KLCC itu. Samalah sepertimana seseorang yang berkata dia bencikan kemungkaran, keburukan dan marah terhadap sikap golongan kafir yang mempermainkan agama Islam. Sekiranya sekadar berkata-kata itu, sedikit pon tidak akan membuatkan kaum yang mempermainkan kesucian Islam tu takut apatah lagi tunduk kepada kehebatan Islam.

Untuk itu, saya menyeru kepada umat Islam untuk turut bersama dengan mana-mana gerakan Islam yang ada demi meletakkan Islam di tempat teratas. Namun matlamat keterlibatan itu perlu jelas. Juga matlamat serta arus gerak harakah itu juga perlu selari dengan Kalam Rabbani. Seekor kambing akan mudah untuk dibaham serigala sekiranya bersendirinya meragut dipadang. Lidi yang sebatang mudah dipatahkan,tetapi seikat lidi bukan setakat susah untuk dipatahkan, malah dapat mematahkan, juga dapat memberi manfaat sebagai penyapu lidi :)

Sehingga bertemu lagik untuk bicara hidup seorang pejuang yang seterusnya.. Wa ilal Liqa..
baca lagi...

Saturday, September 6, 2008

Mahasiswa bangga kejayaan pembaharuan kerajaan Kedah

Tindakan Menteri Besar Kedah menyatakan ketegasan terhadap bahawa tiada kos bawah meja bagi apa saja projek yang melibatkan kerajaan negeri dilihat sebagai langkah yang bertepatan dengan masanya. Di kala Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyerang ahli politik samaada daripada Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional, Kerajaan Negeri Kedah seharusnya lebih berhati-hati bagi mengelakkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Kedah Darul Aman. Langkah yang diambil oleh Menteri Besar Kedah ini secara tidak langsung berjaya menarik lebih ramai para pelabur ke negeri Kedah ini. Dalam perkembangan terbaru Kerajaan Negeri merancang menambah 450 ekar lagi kawasan pelaburan iaitu Fasa IV Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dengan nilai sebanyak RM100 juta, memandangkan fasa sedia ada tidak lagi mampu menampung kehendak pelabur yang membuat permohonan.

Sebuah syarikat semi konduktor terbesar Fuji Electric Semiconductor (Malaysia) Sdn Bhd mengumumkan akan membuat pelaburan sebanyak kira-kira RM 1.4 Bilion lagi untuk tujuan pembangunan dan memantapkan sistem operasinya di KHTP.

Sebelum itu, First Solar Incorporated mengumumkan pelaburan sebanyak AS$680 juta (RM2.2 Bilion) di kawasan yang sama. Ia dijangka akan mengwujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam bidang pengurusan, perakaunan, kejuruteraan, sumber manusia dan operasi kilang apabila keempat-empat kilangnya beroperasi sepenuhnya menjelang tahun hadapan.

Di Langkawi Permata Kedah, sebuah syarikat asing 99’ East Langkawi Living menjalin kerja sama dengan Kedah Corporation membangunkan bidang pelancongan di pulau peranginan itu. Projek bernilai RM1.9 billion itu akan dilaksanakan di Bukit Malut, Mukim Ulu Melaka.

Sebuah syarikat swasta EDEN Incorporated Berhad telah membuat pelaburan sebanyak RM100 juta untuk membina tangki tambahan di Under Water World Langkawi.

Di bidang pertanian, sebuah syarikat dari Los Angeles iaitu H&T Seafood Incorporated melabur dalam projek ternakan ikan air tawar di Tasik Pedu. Ia melibatkan 3,000 sangkar ikan berskala besar.

Sebuah syarikat dari Taiwan Ocean Ranch Limited sedang membuat pelaburan di bidang ternakan ikan dalam sangkar menggunakan teknologi Norway. Projek tersebut dijalankan di Zon Industri Akuakultur di Pulau Simpang Tiga, Langkawi.

Projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang dimulakan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri yang lalu kini diteruskan dengan versi baru dengan tidak melibatkan pengambilan tanah sawah milik rakyat.

Jika dahulu pelaburan untuk ZIPY hanya berjumlah RM53 Billion, kini ianya bertambah kepada RM83 Billion, sekaligus menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri yang ada sekarang bertambah.

Melihat kepada perkembangan positif ini, mahasiswa yakin agenda perubahan yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat dapat ditunaikan di negeri Kedah Darul Aman. Oleh itu, pembaharuan yang dibuat ini mestilah diperkasakan dan diteruskan.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
Presiden Penaja PERSADA
www.faisalmustaffa.com
baca lagi...

Mahasiswa Kedah Tubuh NGO

Oleh: Muhammad Faris

KUALA LUMPUR : Keprihatinan, kepekaan dan kesungguhan telah ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswa Kedah terhadap perpaduan rakyat, semangat integrasi, soal-soal kebajikan dan juga sumbangan serta khidmat bakti mereka kepada masyarakat terutamanya di negeri Kedah, telah terbukti dengan tertubuhnya sebuah badan NGO baru, yang dinamakan Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA).

Persatuan Mahasiswa Darul Aman atau ringkasannya PERSADA, ditubuhkan dibawah ikatan amanah dan dijadikan sebagai satu medium terbaik untuk mahasiswa-mahasiswa Kedah, sama ada yang berada di dalam dan juga di luar negara, menggagaskan dan memperluaskan peranan mereka hingga mencapai tahap yang optimum, demi kebaikan seluruh mahasiswa anak-anak Kedah dan masyarakat khususnya untuk rakyat negeri Kedah itu sendiri.

Dengan tertubuhnya PERSADA yang menaungi semua persatuan-persatuan mahasiswa dan pelajar negeri Kedah di setiap IPTA dan IPTS, persatuan mahasiswa dan pelajar di semua Institut Perguruan dan maktab, kolej-kolej, politeknik-politeknik, sama ada di dalam dan juga di luar negara, ia diharapkan mampu menjadi wadah kesatuan buat semua mahasiswa anak jati negeri tersebut.

PERSADA yang telah didaftarkan secara sah dan rasmi sebagai sebuah badan NGO yang bebas, turut menyertai gabungan badan-badan NGO seluruh negeri Kedah yang lebih dikenali sebagai WEHDAH. Daripada sambutan yang agak memberansangkan dan juga respon positif yang telah ditunjukkan oleh mahasiswa-mahasiswa Kedah atas penubuhan PERSADA ini, menyerlahkan kesungguhan dan kesanggupan mahasiswa-mahasiswa Kedah berganding bahu dan bekerjasama bagi mencapai matlamat penubuhannya.

Antara matlamat penubuhan PERSADA ini ialah untuk menganjurkan sebarang aktiviti kebajikan bagi mahasiswa-mahasiswa Kedah yang berada di dalam mahupun di luar negara. PERSADA juga bermatlamat untuk menjayakan dan melaksanakan kerja-kerja ke arah memaksimumkan pengupayaan mahasiswa dan masyarakat melalui peningkatan ilmu, kemahiran, pengalaman dan daya inisiatif untuk membangunkan mereka dengan nilai-nilai murni yang kondusif.

Selain itu juga, penubuhan PERSADA turut bertujuan untuk mengadakan kerjasama dengan badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan di peringkat negeri dan juga nasional dalam usaha mencapai matlamatnya. Penubuhan PERSADA secara tuntasnya bertindak sebagai wadah yang dapat mengemblengkan tenaga, idea, gerak kerja dan usaha, seterusnya memacu mahasiswa Kedah di seluruh Malaysia dan di luar negara, untuk memberi dan mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat.

Menurut Presiden Penaja PERSADA, Mohd Faisal bin Mustaffa, dengan termaktubnya PERSADA ini sebagai badan NGO berdaftar, beliau berharap PERSADA dapat menjadi medan terbaik untuk mahasiswa-mahasiswa Kedah dari pelbagai kaum dan agama, sama ada di dalam dan di luar negara, berkumpul dan duduk di bawah naungan yang satu, iaitu PERSADA, demi penyatuan mahasiswa Kedah itu sendiri.

Beliau juga menegaskan bahawa melalui PERSADA jugalah mahasiswa dapat bergerak dengan lebih aktif untuk membantu masyarakat terutamanya di negeri Kedah, di atas nama sebuah badan NGO yang sah.

Hasrat beliau lagi agar PERSADA yang ditubuhkan atas dasar menyedari kepentingan hubungan keintelektualan mahasiswa dengan masyarakat, dalam mendepani arus sebenar dalam dunia masa kini, mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, bagi merealisasikan apa yang telah direncanakan.



baca lagi...

Tahniah Kerajaan Kerana "sopankan" Iklan


Alhamdulillah, itu saja ucapan yang mampu diucapkan apabila kali pertama terpandang sebuah billboard baru di hadapan Kompleks SP Plaza di sini petang tadi. Kenalkah wajah siapa yang dipamerkan pada billboard di atas. Tidak lain dan tidak bukan itulah imej terbaru Cik Farah Fauzana, penyampai radio terhangat di Malaysia. Imej menutup aurat personaliti wanita terkenal itu turut diperlengkap lagi dengan tulisan jawi pada papan iklan tersebut.


baca lagi...

Mahasiswa Sambut Baik Cadangan Kerajaan Kedah

"Mahasiswa menyokong cadangan pihak kerajaan negeri Kedah untuk menutup pusat-pusat judi yang beroperasi di Kedah secara bertahap dan larangan penyanyi wanita, reggae, pop, rock dan dangdut. Dan setiap konsert atau persembahan terbuka haruslah berdasarkan garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mengikut laporan dari Harakahdaily yang ditulis oleh Mohd Azmi Abdul Hamid (Pengerusi WEHDAH). Proses pemberhentian bertahap itu adalah suatu langkah yang sangat wajar kerana industri judi yang beroperasi jelas tidak memberi sebarang sumbangan yang positif semada dari segi sosial mahupun ekonomi.

Suara pihak tertentu yang mendakwa bahawa cadangan ini tidak wajar dilaksanakan hendaklah ditolak dengan bijaksana dengan mengadakan pertemuan bersemuka bagi menjelaskan kenapa cadangan ini perlu dilaksanakan.

Kami berpendapat tidak ada sebab kenapa indusrti ini perlu diteruskan walhal kesan negatifnya sangat ketara.

Sesungguhnya kerajaan bertanggungjawab membentuk dan membangun sebuah masyarakat yang mengamalkan nilai murni . Berjudi sudah jalas bukan suatu amalan dan tabiat yang murni yang perlu dipertahankan. Sebaliknya ia sepatutnya diperangi habis-habisan .

Kesan negatif dari segi sosial dan ekonomi dari industri judi tidak dapat dipertikaikan kerana sumua kaum dan agama menolak perlakuan yang boleh memperondak-perandakan keluarga dan masyarakat .

Amalan berjudi dalam bentuk apapun dan pada skala manapun hendaklah diperangi lantaran ia secara jelas boleh mengujudkan kesan lanjutan seperti keruntuhan akhlaq , kehancuran institusi keluarga serta jenayah.

Kami menegaskan bahawa pihak kerajaan perlu meneruskan cadangan ini tanpa mengambilkira pandangan yang terlalu mengambil perhitungan politik sebagai alasan untuk memerangi kemungkaran.

Kami menolak pihak yang meletakkan populariti politik dijadikan pertimbangan untuk pihak kerajaan memerangi kemungakran industri judi. Sesungguhnya kerajaan Kedah perlu mengaskan bahawa kemungkaran yang jelas tidak boleh dikompromi hanya kerana mahu mendapat sokongan politik.

Manakala "Kedah larang penyanyi wanita.." dipetik dari Blog KedahLaNie, tulisan Jimadie Shah Othman. Seperti di Kelantan yang dikuasai PAS, kini tiada lagi persembahan penyanyi perempuan dibenarkan di Kedah, kata exco kerajaan negeri Dr Ismail Salleh hari ini.

"(Penyanyi) perempuan memang kita tidak terima 100 peratus (untuk kelulusan permit hiburan).

"Tetapi kalau persembahan itu khas untuk orang perempuan sahaja tidak mengapa," kata Dr Ismail, pengerusi jawatankuasa tetap kesihatan, penerangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangunan insan Kedah.

Beliau yang juga wakil rakyat Alor Mengkudu berkata, suara perempuan sebahagian daripada aurat.

"Kalau bersyarah lainlah," katanya kepada Malaysiakini, apabila diminta mengulas larangan sepenuhnya konsert di negeri itu yang kini bawah pentadbiran PAS.

world press freedom day concert central market 030606 fathul Menurut Dr Ismail, perkara itu ditegaskan kembali dalam mesyuarat exco negeri Rabu lepas setelah diputuskan kira-kira dua bulan membentuk kerajaan selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat, Mac lalu.

Keputusan itu, tambahnya, antaranya berdasarkan garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disifatkannnya "cukup cantik" dan bersetuju sepenuhnya dengan isi kandungannya.

Tuntasnya, Mahasiswa menyokong kedua-dua cadangan tersebut untuk dilaksanakan dengan segera.

sumber: Kedahlanie.blogspot.com
baca lagi...