Monday, March 2, 2009

'Allah' Dalam Bible...Sempurnakan Penghapusan Bahasa Melayu?



Sebelum ini, saya ada bawakan pendapat Cendekiawan Islam, Abu A'la al-Mawdudi tentang bahaya penghapusan Bahasa Ibunda bagi setiap negara-negara yang jadi tempat penjajahan Kolonialisme. Saya cuba bawakan para pembaca untuk kaitkan dengan situasi semasa negara yang berada dalam polemik PPSMI. Kita dapati pelbagai lapisan masyarakat yang bangkit dari PIBG hinggalah Profesor-profesor pejuang bahasa.

Sebelum kita telah 'talqinkan' kematian tulisan jawi yang ada kaitan rapat dengan bacaan al-Quran, kitab hadis, kitab-kitab ulama pondok dan seumpamanya. 'Wafatnya' tulisan jawi secara legal bermakna bermulalah kejatuhan Tamadun Ilmu Alam Melayu yang dulunya rantau melayu ini lebih dikenali dengan panggilan JAWI.

Kini, timbul pula serangan baru iaitu isu penggunaan perkataan Allah dalam Bible dan penerbitan Herald - The Catholic Weekly. Kecelaruan bahasa ini kita dapat fahami dengan bebarapa contoh. Antaranya, Mereka mendakwa “Bible bahasa Melayu menggunakan ‘Allah’ untuk God dan ‘Tuhan’ untuk Lord.” Jelas bahawa makna-makna bagi istilah tersebut dalam Bible bahasa Melayu yang mereka rujuk, adalah salah. Cuba bandingkan dengan Rukun Negara pertama dalam bahasa Inggeris: “Belief in God” yang merupakan terjemahan daripada Bahasa Melayu “Kepercayaan kepada Tuhan”. Terjemahan Inggerisnya tidak berbunyi “Belief in Allah”, yang mungkin akan timbulkan polemik kaum dan agama.



Orang-orang Melayu faham bahawa apabila istilah Arab ‘ilah’ digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris ‘God’ dan istilah Melayu ‘Tuhan’; dan apabila istilah Arab ‘Rabb’ digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris ‘Lord’. Justeru, apabila kalimah syahadah diterjemahkan dalam bahasa Melayu, bunyinya “Tiada Tuhan melainkan Allah”, yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “there is no God except Allah”.

Sekiranya istilah ‘God’ diterjemahkan sebagai ‘Allah’, maka terjemahan tersebut akan berbunyi “Tiada Allah melainkan Allah” (“There is no Allah but Allah”), yang merupakan satu percanggahan. Ini sudah pasti akan memporak-porandakan pemikiran Bahasa Melayu. Apakah mereka ingin membina pemikiran Bahasa Melayu mengenai peristilahan yang betul dalam bahasa Melayu? Bahasa Melayu memahami istilah ‘Tuhan’ untuk merujuk kepada God dan bukan istilah Lord.



Walaupun barangkali orang-orang Kristian Arab di Asia Barat menggunakan istilah ‘Allah’, mereka tidak menggunakannya merujuk kepada istilah ‘God’ yang ada dalam Bible atau terjemahan-terjemahan Bible dalam bahasa Arab. Penggunaan pertuturan itu adalah kerana mereka menuruti kelaziman orang Arab yang berkenaan dengan kebudayaannya, bukan untuk membayangkan kepercayaan i‘tiqad yang tertentu. Tambahan lagi, istilah Allah mengandungi kekayaan makna yang tersendiri yang juga sudah meresap murni dalam bahasa Ilmu Nusantara iaitu BAHASA MELAYU.

Akhirnya, mungkinkah kombinasi "Penghapusan JAWI, PPSMI dan 'Allah Dalam Bible dan Herald" boleh dianggap 'Tentera Ahzab Moden' dalam waqi' maliziy (konteks Malaysia)? Cuba bayangkan dakyah Yahud wa Nasara lambat laun lebih mudah menyusup ke dalam masyarakat Islam kelak.

Mohd Hasrul Bin Shuhari
Exco Pembangunan dan Penyelidikan PERSADA.
http://al-qedahi.blogspot.com/
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "'Allah' Dalam Bible...Sempurnakan Penghapusan Bahasa Melayu?"