Sunday, April 19, 2009

[Kemas Kini] PERSADA tubuh ‘Skuad Cakna’ pantau prestasi wakil rakyat*

Kuala Lumpur 19 April 11:10 a.m | Presiden Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA), Mohd Faisal Mustaffa pagi ini menafikan kenyataan beliau berkenaan penubuhan Skuad Cakna bagi memantau prestasi seluruh wakil rakyat Negeri Kedah yang dilaporkan portal Mahasiswakini Jumaat lalu dalam posting ‘PERSADA tubuh ‘Skuad Cakna’ pantau prestasi wakil rakyat’.

“Saya menafikan segala kenyataan dalam email tersebut, mungkin ia salah faham pihak tertentu, saya akan dapatkan penjelasan beberapa individu nanti,” jelas beliau melalui panggilan telefon.

Sebelum itu, Mahasiswakini mendapat email dari individu yang menamakan beliau sebagai stringer kepada Persada.

Faisal juga menjelaskan bahawa NGO pimpinan beliau tersebut dalam fasa perbahasan proses pemilihan kepimpinan akan datang. Beliau juga merungkai persoalan ramai berkenaan halatuju beliau selepas bergelar siswazah.

“Secara peribadi, buat masa akan datang saya akan sambung pengajian di peringkat master dan tidak ada kena-mengena dengan perlantikan sebagai setiausaha politik kepada mana-mana ahli parlimen,” jelas beliau.
Menjelaskan isu tersebut, Ketua Editorial Mahasiswakini, Syarifah Balqis Syed Asmuni menyatakan ianya kesilapan teknikal dan memohon maaf atas salah faham tersebut.-mahasiswakini

[Posting Asal]

Persatuan Mahasiswa Darul Aman Nasional (PERSADA) semalam secara rasminya menubuhkan Skuad Cakna bagi memantau prestasi seluruh wakil rakyat Negeri Kedah Darul Aman.
“Skuad Cakna ditubuhkan untuk jadi ‘check-and-balance’ kepada kerajaan negeri untuk pastikan nasib rakyat negeri Kedah (terus) terbela dan menjamin seluruh wakil rakyat yang dipilih benar-benar berfungsi sebagai Yang Berhormat,” jelas Presiden NGO berkenaan, Mohd Faisal Mustaffa.

NGO yang mewakili suara anak muda kerajaan ‘Jelapang Padi’ yang mempunyai 7349 keahlian rasmi memberi keyakinan bahawa berkemampuan dalam menggemblengkan seluruh tenaga tersebut bagi menjalankan misi Skuad Cakna yang ditubuhkan.

Beliau menjelaskan perkara tersebut selepas mengadakan pertemuan empat mata bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau S.Manikumar di Taman Ria di sini hari ini. Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar-tukar idea dan pandangan di samping menggagaskan gagasan baru demi kesejahteraan rakyat Kedah.

Ditanya sama ada PERSADA bersedia untuk mengkritik wakil rakyat Pakatan Rakyat khususnya PAS sekiranya didapati gagal memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, beliau menjelaskan bahawa pihaknya tiada sebarang masalah mengenainya.
”Wakil rakyat PAS bukan maksum dan bukan Nabi, kita semua adalah manusia biasa dan takkan terlepas daripada melakukan kesilapan, jadi kami sememangnya dari dulu lagi sudah bersedia tiga ratus peratus,”jawab beliau sambil ketawa.

Faisal ketika ditanya kemungkinan beliau akan dilantik setiausaha politik kepada seorang Ahli Parlimen di Kedah namun beliau hanya memberi jawapan ‘kita nantikan kejutan baru, kita tunggu dan lihat’.

Terdahulu,PERSADA telah memberikan bantuan kepada S.Manikumar yang telah memenangi Pilihanraya Kecil Bukit Selambau setelah menewaskan calon MIC dari Barisan Nasional dan dilantik sebagai Exco Kedah yang memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Siam, India, Pekerja Ladang serta Perpaduan.-mahasiswakini
baca lagi...

Sunday, April 12, 2009

Tahniah kepada S. Manikumar

Persatuan Mahasiswa Darul Aman(PERSADA KEDAH) mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Selambau dan sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah yang baru kepada S. Manikumar. Jalankan amanah rakyat dengan penuh keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira fahaman politik seterusnya dapat membangunkan negeri Kedah Darul Aman dengan terus gemilang.
baca lagi...

Friday, April 3, 2009

PERSADA dan BERSATU gesa mahasiswa turun mengundi minggu hadapan

Ipoh 3 April 08:07 a.m | Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU) dan Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) masing-masing menggesa seluruh mahasiswa Malaysia turun mengundi 7 April ini dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Bercakap kepada media pagi semalam, Presiden BERSATU Hafez Sabri menggesa seluruh mahasiswa Perak terutamanya yang berada di luar Perak untuk meluangkan masa demi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan warga Perak amnya dalam sistem demokrasi negara ini.

“Kita sebagai anak muda Perak mesti tunai tanggungjawab untuk pilih pemimpin baru. Saya seru kepada semua anak muda di Bukit Gantang terutamanya yang berada di perantauan untuk sama-sama turun mengundi pada selasa ini (7 April),” tegas beliau semasa bertemu golongan muda negeri itu semalam dalam satu majlis.


Dalam pertemuan yang lain, presiden PERSADA, Mohd Faisal Mustafa mengingatkan kepada semua pengundi supaya memilih pemimpin yang adil dan tidak bersifat perkauman.

“Kita mahasiswa sebagai pelapis kepada generasi muda Malaysia yang baru, dalam (suasana)politik baru tidak boleh melihat pemilihan pemimpin dari sudut kaum. Malaysia yang baru mesti dipimpin oleh pemimpin yang tepat tanpa tengok (melihat) pada kaum mana dia datang. Yang penting ialah kepimpinan yang telus, jiwa rakyat,” ujar beliau sambil menggesa seluruh mahasiswa Kedah untuk turun mengundi di pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau.

Terdahulu, NGO Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menghantar 300 mahasiswa dari pelbagai universiti di Lembah Klang ke Kuala Sepetang, satu daripada tiga DUN bawah Bukit Gantang minggu lepas.

Sambil menegaskan bahawa pertubuhan mahasiswa tersebut tidak condong kepada mana-mana parti politik, mereka pergi mengedarkan risalah isu politik itu di kawasan-kawasan perkampungan di DUN itu yang mempunyai hampir 20,000 pengundi, 32 peratus daripadanya Cina.-mahasiswakini

baca lagi...