Monday, June 8, 2009

10 subjek mampu membina pelajar yang cemerlang dalam satu aliran?

Oleh: Norkhizan binti Md Yusof

Respon kepada Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Nilai semalam. Kami menyarankan kerajaan mengkaji balik menghadkan 10 subjek tersebut kerana dari kaca mata mahasiswa, kami melihat terdapat banyak faedah jika pelajar SPM diberi peluang untuk mengambil banyak subjek.

Antaranya kebaikannya adalah menonjolkan potensi pelajar SPM. Kita dapat melihat sebelum ini pelajar yang mengambil banyak subjek mempunyai perancangan awal dan berinsiatif sendiri tanpa menyusahkan pihak sekolah semata-mata.

Selain itu mengambil contoh Nik Nur Madihah Bt Nik Mohd Kamal sebelum ini, menunjukkan pelajar sekolah agama mempunyai kekuatan untuk juga berjaya dalam bidang sains. Dia membuktikan kesepaduan dalam sistem pembelajaran agama dan aliran sains mampu dipikul oleh pelajar.

Ilmu yang dimiliki oleh pelajar yang mengambil subjek yang lebih banyak juga lebih holistik. Justeru, pengusaan ilmu yang dimiliki dalam diri mereka adalah menyeluruh dan tidak tertumpu kepada satu bidang sahaja seperti aliran sains semata-mata. Jadi kelahiran generasi pemimpin akan datang bukan sekadar mahir dan pakar pada satu bidang tetapi seimbang dari aspek dunia dan akhirat.

Sebagai contoh kita bukan sekadar melahirkan pakar ekonomi sahaja, tetapi yang juga tahu meramal keadaan semasa berdasarkan ilmu sains dan agama yang pelajari. Besar harapan saya jika pemimpin generasi akan datang seorang pemimpin yang mahir secara keseluruhannya dalm bidang kepimpinan dan keagamaan.

Dengan mengetatkan peraturan, bahawa pelajar hanya perlu mengambil 10 subjek yang dikatakan bertujuan untuk membantu masalah kekurangan guru, tidak akan dapat mengatasi masalah tersebut. Pada hakikatnya, masalah kekurangan guru untuk subjek kritikal kebanyakannya berlaku di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak. Malah, jika kita melihat dari sudut ekonomi pula, ia akan memberi peluang kepada penubuhan pusat-pusat tuisyen swasta dan persendirian.

Dalam pada itu sistem pemilihan untuk mendapatkan tajaan biasiswa perlu diubah. Hal ini kerana perlu ada kayu ukur yang lain untuk menilai pemohon tajaan dengan lebih releven dan adil. Ataupun alternatifnya, wujudkan syarat khas kepada pelajar yang mengambil banyak subjek (lebih daripada 10 subjek).

Kesimpulannya pertumbuhan tunas-tunas hijau yang berjiwa besar tidak sepatutnya dicantas atas dasar meningkatnya penggunaan baja dan air. Seharusnya tunas-tunas ini perlu dijaga dan disemai agar kita tidak ketandusan generasi kepimpinan yang berilmu dan berkaliber.

Maka, kita perlu berikan kebebasan seluas-luasnya kepada pelajar untuk memilih jalan yang terbaik bagi mereka untuk mencorak masyarakat dan kepimpinan masa hadapan. Oleh itu, kerajaan seharusnya mengkaji semula untuk memastikan keputusan ini dapat memberikan manfaat yang lebih luas kepada pelajar.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "10 subjek mampu membina pelajar yang cemerlang dalam satu aliran?"