Thursday, October 8, 2009

SISTEM E-VOTING : KPT DIMINTA TELUS DAN HORMATI DEMOKRASI



ALOR SETAR,7 OKT : Persatuan Mahasiswa Darul Aman(PERSADA KEDAH) hari ini meminta Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) telus dan menghormati prinsip demokrasi.Tindakan kementerian tersebut ingin melaksanakan sistem e-voting di semua IPT pada pilihanraya kampus(PRK) akan datang telah mencalarkan prinsip kerahsiaan,ketelusan dan kebolehpercayaan yang menjadi elemen penting dalam proses pengundian.




Menurut Presidennya,saudara Syazwan Bin Ahmad,sistem pengundian secara manual yang dilakukan sebelum ini sebenarnya lebih mudah daripada sistem E-voting.Pelajar lebih bebas untuk mengundi sesiapa sahaja tanpa merasa bimbang diugut atau sebagainya.Ia juga memberi keadilan kepada kedua-dua pihak untuk sama-sama bersaing secara adil.Beliau juga yang sebelum ini pernah sama-sama berberbincang dengan beberapa pimpinan front mahasiswa dan wakil setiap kampus tentang isu ini dan akan cuba akan menyampaikan kepada ahli-ahli dan mahasiswa maklumat berkaitan isu ini.Bagi beliau mahasiswa perlu faham tentang sistem ini dan apa kesan perlaksanaanya dan mereka bebas untuk mengundi sesiapa yang mereka mahu.Ketika ditanya adakah isu ini akan memberi kesan kepada pilihanraya kecil Bagan Pinang?.”Kita tunggu dan lihat.”,ujarnya ringkas.Beliau juga tidak menafikan mungkin wujud pemboikotan pilihanraya kampus pada sesi kali ini jika ia terus dilaksanakan tanpa ada pertimbangan.Hal ini pernah berlaku dan tidak mustahil.

Sementara proses penamaan calon di dua buah universiti yang berada di utara iaitu Universiti Utara Malaysia(UUM) dan Universiti Malaysia Perlis(UniMAP) akan bermula minggu ni dan minggu depan.PERSADA yang merupakan NGO yang menghubungkan mahasiswa Kedah seluruh IPT mempunyai jaringan mahasiswa di dalam dan luar negara.





Berikut adalah penelitian tentang Kesan Sistem E-voting :

Pencabulan terhadap prinsip demokrasi:-

Tahap demokrasi sesebuah negara seringkali di ukur melalui pilihanraya yang bersih, kebebasan-kebebasan awam, kehakiman yang telus, bebas berorganisasi, masyarakat sivil dan pemerintahan yang berasaskan majoriti (Zaini 2006:29). Ini membawa maksud, walaupun sesebuah kerajaan itu berjaya membawa kemakmuran kepada rakyat tetapi masih melanggar aspek-aspek yang disebutkan di atas, maka ia bukanlah dinamakan demokrasi bahkan dinamakan autokrasi.

Melalui demokrasi, pilihanraya diadakan untuk menunjukkan sejauhmana sesebuah negara berupaya menyediakan medium politik yang bebas dan adil. Bebas dan adil merujuk kepada prinsip utama demokrasi iaitu kebebasan dan hak, meliputi kebebasan pihak yang bertanding, kebebasan rakyat untuk memilih dan sistem pengundian yang digunakan. Dalam konteks kampus hari ini, berlaku pencabulan prinsip demokrasi ini dalam pelaksanaan sistem pengundian e-undi.

Kenyataan ini disokong oleh beberapa hujah konkrit, iaitu :
i. Melalui sistem pengundian e- undian dan maklumat pengundi adalah tidak rahsia. Akibatnya, pengundi terjejas kepada bahaya-bahaya yang akan dihadapi disebabkan ‘undi’nya kepada pihak tertentu (yang mendokong kebebasan mahasiswa, contohnya Pro-Mahasiswa). Bahaya tersebut seperti pembuangan kolej, ugutan dan lain-lain
ii. . Integriti pengendali sistem adalah diragui sekiranya tiada pemantauan pihak yang berautoriti. Oleh kerana sistem e-undi (secara digital) dibuat dan dikendali oleh manusia, integriti terhadap pengendali sistem adalah rendah.

Bagi sesiapa yang memiliki akses, mereka mampu mengubah sistem dengan memasukkan malware dan virus. Menurut buku karangan R Michael Alvarez dan Thad E Hall bertajuk Electronic Election: The Perils and Promises of Digital Democracy sebelum pengundian di AS pada 2004, berlaku banyak spekulasi terhadap pelaksanaan sistem e-undi. Antaranya, persoalan integriti undi disuarakan apabila mesin yang merekodkan penjumlahan undi secara maya boleh dipertikai dengan pertambahan undi yang sukar untuk dikesan.

Bahkan, dalam beberapa kajian yang telah dilakukan terhadap sistem ini menunjukkan bahawa sistem e-undi secara kritikalnya terdedah terhadap manipulasi pihak pengendali. (Rujuk lampiran penuh tentang kajian).

Pencabulan terhadap undang-undang:-

Setelah berlakunya pencabulan prinsip demokrasi oleh sistem ini, berlaku juga pencabulan undang-undang dalam perkara kerahsiaan undi.
Seksyen 52 Perlembagaan Universiti Malaya, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 menyebutkan bahawa pihak berkuasa Universiti hendaklah mengadakan pemilihan satu Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) mengikut cara seperti berikut :

(a) Pelajar berdaftar bagi setiap fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh Dekan Fakulti atau Ketua Sekolah, Pusat, Akademi atau Institut, mengikut mana-mana yang berkenaan, beberapa pelajar berdaftar yang sama bilangannya sebagaimana ditentukan oleh Naib Canselor, masing-masing daripada Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut itu untuk menjadi wakil dalam MPM; dan
(b) Keseluruhan pelajar-pelajar berdaftar hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh mana-mana pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor bagi maksud itu, beberapa orang pelajar berdaftar, sebagaimana ditentukan oleh Naib Canselor untuk menjadi wakil-wakil dalam MPM dan bilanganpelajar- pelajar itu hendaklah dalam apa jua keadaan, tidak melebihi setengah daripada bilangan wakil-wakil yang dipilih di bawah perenggan (a).

Mengikut seksyen berkenaan, pelajar-pelajar perlu membuat pemilihan melalui undi rahsia. Tetapi mengikut sistem e-undi, kerahsiaan malumat pengundi dan undiannya adalah dinafikan. Jelaslah di sini bahawa, berlaku pencabulan undang-undang apabila sistem ini dijalankan.
Justeru, pengiktirafan terhadap seksyen ini telah dinafikan secara langsung oleh pentadbiran Universiti dengan menggunakan sistem e-undi. Selain itu, keabsahan undang-undang juga dicabul oleh pihak yang sepatutnya mengiktirafnya.

Realiti kelemahan sistem (Petisyen bantahan UUM & lampiran kajian UPM)

Di dalam petisyen bantahan yang pernah dikeluarkan oleh pihak Front Mahasiswa Universiti Utara Malaysia, beberapa kelemahan sistem e-undi disenaraikan mengikut pengalaman mereka menggunakannya. Antaranya ialah :

i. Sistem Mudah Dimanipulasi.

- Integriti ketua pusat pengundi dan ketua pusat penjumlahan undi boleh dipersoalkan.
- Bahasa pengekodan (programming language) yang ditulis tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana calon atau agen calon tidak diberikan salinan bahasa tersebut walaupun telah diminta.
- Jika sistem yang berkenaan mampu mengenal pasti sama ada pengundi telah mengundi atau tidak, maka sistem tersebut juga berupaya mengesan siapa yang diundi


ii. Masalah Kebolehupayaan


-Pengundian terpaksa ditangguhkan untuk beberapa ketika kerana masalah sistem undian yang sering tergendala. Gangguan pada sistem ini boleh menyebabkan berlakunya kesilapan dan pencerobohan daripada luar.
- Kebarangkalian untuk kebocoran yang berleluasa yang tinggi adalah tidak mustahil

.

iii Kawalan penuh oleh Timbalan Naib Canselor(TNC) dan Hal Ehwal Alumni(HEP)


Jawatankuasa yang dibentuk dianggotai oleh TNC HEP dan Alumni serta staf

staf HEP yang membantu calon aspirasi. Di UPM sebagai contoh,Jawatankuasa Induk Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JKI) dipengerusikan oleh TNC HEP dan beliau juga berkuasa dalam perlantikan jawatankuasa yang lain. Mungkin Di UUM kali ini agak berbeza, namun perkara ini masih menjadi polemik kerana masih dibawah kawalan HEP dan HEP dibawah kawalan TNC HEP

.

iv Tiada badan bebas daripada luar untuk memantau PRK dan sistem E-Undi


PRK yang telus sepatutnya membenarkan badan bebas atau NGO luar

(MAFREL, SUHAKAM, SPR dll) membuat penilaian dan audit terhadap

Sistem e-undi


V Calon atau wakil calon tidak dibenarkan berada di dalam pusat Pembuangan undi


- Mengikut pelaksanaan E-undi di kampus-kampus lain sebelum ini,calon atau ejen calon tidak dibenarkan sama sekali berada di dalam pusat pembuangan undi sedangkan dalam pilihanraya umum, calon atau agen calon dibenarkan untuk melihat proses pembuangan undi.
- Calon atau ejen calon dinafikan hak untuk terlibat dalam proses pengiraan undi.
Calon atau ajen calon juga tidak dapat melihat pengiraan undi dilakukan tetapi hanya mengetahui jumlah tertentu selepas pengiraan dilakukan.

Vi Tiada senarai daftar pengundi


Senarai daftar pengundi tidak diberikan kepada calon untuk semakan daftar pengundi sedangkan hanya mahasiswa tertentu sahaja dibenarkan untuk mengundi. Berbanding pilihanraya umum, senarai daftar pengundi diberikan untuk semakan calon yang bertanding.







Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "SISTEM E-VOTING : KPT DIMINTA TELUS DAN HORMATI DEMOKRASI"