Thursday, October 16, 2008

Penyakit Wahan

Daripada Tsauban R.A berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

'Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka"

maka salah seorang sahabat bertanya,"apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?'

Nabi s.a.w menjawab, "bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan"

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?"

Rasulullah s.a.w menjawab," CINTAKAN DUNIA DAN TAKUT MATI"

Keterangan

Memang umat benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Keadaan umat Islam menggambarkan kebenaran sabdaan Rasulullah s.a.w.

Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang banyak, iaitu 1000 juta(1/5 penduduk dunia), tetappi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh, dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walaupun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatan umat Islam.

Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum Muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit 'wahan' yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua, iaitu "cinta dunia" dan "takut mati". Kedua-dua penyakit in tidak dapat dipisahkan. "Cinta dunia" bermakna tamak, rakus, bakhil untuk mendermakan harta di jalan Allah S.W.T. Manakala "takut mati" pula bermakna leka denan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk bekorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah S.W.T. Kita berdoa agar Allah S.W.T menurunkan mushrahNya kepada kaum Muslimin dan memberikan kepada mereka kejayaan di dunia dan di akhirat.


Oleh: Mohd Fariiqul Amin bin Mohd Rosli-B. Sc. (Islamic Studies)

baca lagi...

Monday, October 13, 2008

Tabung Kasih Ummah Persada


Tabung Kasih Ummah PERSADA ini ditubuhkan khusus untuk memberikan ruang kepada mana-mana individu yang ikhlas menderma untuk kebajikan masyarakat di Negeri Kedah Darul Aman. Kepada insan yang prihatin, dermalah walaupun RM 1.
baca lagi...

Monday, October 6, 2008

Surat Terbuka PERSADA : Isu PPSMI

Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA)
No. 8, Jln. 19/13
46300 Petaling Jaya
Selangor.

6 Oktober 2008

Kepada:
Menteri Pelajaran
Timbalan Menteri Pelajaran
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Menteri Pengajian Tinggi
Ketua Pengarah Pengajian Tinggi

Yang Berhormat Menteri-menteri,

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) WAJAR DIMANSUHKAN DI SEMUA SEKOLAH DAN IPT
Merujuk perkara di atas, kami selaku Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) telah mengkaji dan mempertimbangkan perihal isu berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Seperti yang kita sedia maklum, ia mula dicadang dan dilaksanakan pada tahun 2003 dan tahun 2008 ini merupakan tahun kelima pelaksanaannya. Jika diikutkan, PPSMI untuk kumpulan perintis akan berjalan selama lima tahun. Menurut Menteri Pelajaran, Hishamuddin Tun Hussein, projek perintis inilah yang menjadi keputusan dasar sama ada untuk mengekalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau sebaliknya. Justeru, kami merasakan adalah amat wajar sekiranya PPSMI dimansuhkan di kesemua sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) jika diteliti kepada kesan dan hasilnya setelah lima tahun pelaksanaannya.

Jika melihat kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini, dengan terhentinya pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, maka ini juga bererti bahawa bahasa Melayu itu sendiri telah dikhianati dan dicabuli. Menurut Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Ismail Hussein, zaman ini merupakan zaman penghinaan kepada seluruh bangsa Melayu, zaman cabaran dan pancaroba terhadap tamadun dan budaya Melayu. Sekiranya kerajaan masih terus-terusan meminggirkan bahasa Melayu, hal ini akan menjadi bom jangka dan akan mencetuskan satu keadaan seperti yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Daripada aspek pencapaian pelajar pula, kita mendapati bahawa berlaku kemerosotan yang serius terhadap pencapaian pelajar dalam subjek-subjek berkenaan. Hal ini demikian kerana kurangnya minat pelajar untuk belajar subjek-subjek berkenaan kerana kesukaran untuk memahaminya. Jika merujuk kajian yang dilakukan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008, lebih 80 peratus murid menyatakan bahawa guru Matematik dan Sains mereka menggunakan campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70 peratus murid menyatakan mereka ‘tidak faham atau kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan 80 peratus terhadap pengajaran subjek Sains dalam Bahasa Inggeris dan mereka ‘sukar atau agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi mereka dalam Ujian Matematik dan Sains juga rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Dapatan daripada kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai. Ia telah menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit pula meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris mereka. Maka, tidakkah keadaan ini akan mengakibatkan kemunduran pelajar Melayu kita?

Selain itu, keadaan ini turut menambahkan bebanan guru kerana mereka terpaksa menggandakan usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar menggunakan bahasa asing, khasnya pelajar sekolah rendah. Tidak dapat tidak, guru-guru terpaksa belajar ilmu nahu atau ilmu tatabahasa dan perbendaharaan kata bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum memulakan pengajaran, kerana bukan semua guru tersebut mahir berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan merumitkan para guru dalam memberikan kefahaman kepada pelajar, sekaligus memberi tekanan kepada mereka. Dalam pada itu, mereka terpaksa pula menghadiri kursus-kursus bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, supaya dengannya para guru berupaya menyampaikan pengajaran dengan berkesan. Hal ini perlu dilakukan secara berterusan, dan tentunya memakan masa yang lama. Jika seorang guru pun sukar untuk memahami dan menyampaikan pengajarannya dengan baik, maka tentulah pelajar akan lebih memerlukan masa yang lama dalam memahami subjek yang dipelajari.

Jika difikirkan secara terperinci, pelaksanaan sesuatu dasar jika sekadar mahu mencuba dan melihat dahulu impaknya merupakan dasar yang tidak menjamin masa depan rakyat. Rakyat seolah-olah menjadi bahan uji kaji. Jika dasar ini tidak berjaya, apakah kerajaan mampu mengembalikan masa depan pelajar-pelajar kita yang telah gagal dalam pengajian dan terjerumus ke lembah sosial?

Satu tinjauan yang dijalankan oleh UNESCO untuk laporan Bank Dunia pada tahun 1997 telah menyimpulkan bahawa apabila sesuatu pembelajaran itu menjadi suatu matlamat, termasuklah pembelajaran bahasa kedua, (seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, dan lain-lain di Malaysia), penggunaan bahasa ibunda seseorang pelajar itu harus digunakan sebagai medium pengajaran dalam tahun-tahun awal persekolahannya. Di samping itu, UNESCO juga memetik daripada 'Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef') sebagai berkata: “Dalam keadaan di mana ibu bapa pelajar itu buta huruf, jika medium pengajaran di sekolah ialah bahasa yang tidak digunakan sebagai bahasa pertuturan di rumah, ditambah pula dengan masalah pembelajaran dalam suasana kemiskinan, maka peluang untuk berlaku keciciran dalam pembelajaran akan meningkat dengan mendadak.” Maka, tidakkah kerajaan melihat kepada rumusan dan kajian yang dilakukan oleh UNESCO ini sebagai prinsip sebelum mengambil keputusan melaksanakan dasar PPSMI di negara ini?

Justeru, kami dengan tegasnya memohon supaya kerajaan memansuhkan dasar PPSMI di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) demi memartabatkan semula bahasa Melayu dan sebagai inisiatif untuk mengembalikan kecemerlangan pencapaian para pelajar kita. Hal ini kerana para pemimpinlah yang harus membela bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda di negara kita. Sesuatu bangsa adalah dinisbahkan kepada bahasa yang dituturkannya. Jika hilang bahasa Melayu dari lidah kita, maka di manakah identiti kita sebagai bangsa Melayu yang suatu ketika dahulu begitu gah dengan kekayaan berbahasa dan kehalusan budi pekerti? Zaman yang semakin mencabar ini telah menyaksikan tamadun Melayu semakin lama semakin hilang identitinya, maka janganlah bahasa Melayu yang satu ini turut mengalami nasib yang sama.

Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) sangat berbesar hati sekiranya YB Menteri-menteri dapat memberi perhatian yang sewajarnya terhadap perkara yang kami utarakan ini.
Sekian. Dengan salam hormat.


Yang benar,
MOHD FAISAL MUSTAFFA
Presiden Penaja
Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA)
http://faisalmustaffa.com/v2/
baca lagi...

Penetapan kuota kepada 50% untuk Bumiputera bukti Kedah jaga hak Melayu

Keputusan kerajaan Negeri Kedah menaikkan kouta belian semua jenis rumah daripada 30% kepada 50% dilihat sebagai suatu langkah yang wajar.

Hal demikian kerana, lebih daripada 1.5 rakyat negeri Kedah merupakan Bumiputera Melayu berbanding sekitar 0.5 juta berbangsa Cina, India dan Lain-lain.

Penetapan ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Kedah menitik beratkan permasalahan memiliki tempat tinggal yang di alami oleh kaum melayu bumiputera dinegeri ini.

Secara tidak langsung ianya menepis tohmahan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat dinegeri ini yang menafikan hak melayu semata-mata mahu mengambil hati kaum bukan bumiputera.
Selain itu, tindakan memperbanyakkan rumah kos rendah juga dilihat memberikan kesan positif kepada rakyat Negeri Kedah yang rata-ratanya mempunyai pendapatan yang sederhana.

Menurut Presiden Penaja PERSADA, Mohd Faisal Bin Mustaffa ketika dihubungi berkata, tindakan kerajaan Negeri Kedah yang mengutamakan unsur-unsur kebajikan kepada rakyat berbanding mengutamakan unsur-unsur komersial disokong penuh oleh mahasiswa. Rakyat yang sebelum ini mahu melihat perubahan yang mendadak harus sabar dan meneliti polisi 100 hari pemerintahan kerajaan dimana salah satunya adalah tiada perubahan drastik yang akan dilakukan dinegeri ini.
baca lagi...