Friday, July 24, 2009

MAHASISWA MESIR KUTIP DERMA BANTU SAIF



Mesir,24 Julai : Mahasiswa Kedah Mesir di bawah Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) Mesir menyatakan rasa simpati di atas kejadian kebakaran di Sekolah Integrasi Faizin (SAIF) beberapa hari yang lalu.Menurut Yang Dipertua MKKK,Saudara Abu Bakar Razak melalui emailnya kepada PERSADA kelmarin berkata bahawa pihaknya akan bertindak mengadakan kutipan derma sekitar mahasiswa/wi Mesir.

Majlis Kebajikan Keluarga Kedah(MKKK) Mesir merupakan persatuan mahasiswa yang menghimpunkan seluruh mahasiswa/wi Kedah di Mesir dan setakat ini mempunyai keahlian lebih 1,000 orang.Persatuan ini juga berharap agar dapat menjalankan kerjasama yang erat dengan persatuan-persatuan anak Kedah yang lain.
baca lagi...

Saturday, July 18, 2009

SEKOLAH INTEGRASI FAIZIN TERBAKAR, BANTUAN DIPERLUKAN


Guar Cempedak,18 Julai :-Sebuah sekolah rendah yang berteraskan pendidikan Islam di Kedah iaitu Sekolah Integrasi Faizin (SAIF) Guar Chempedak telah terbakar pada jam 10.00 pagi kelmarin. Kebakaran melibatkan bangunan yang menempatkan Pejabat Pentadbiran sekolah, bilik lembaga tadbir, bilik mudir, bilik guru ,perpustakaan, dan dua buah bilik darjah.Keseluruhan bangunan musnah. Turut musnah ialah 11 unit komputer termasuk dua unit komputer pentadbiran sekolah dan guru, 1 unit dan mesin potostate yang baru dibeli, peralatan perabot antaranya meja mudir, meja kerani dan kaunter serta beberapa buah almari dan 65 unit meja dan kerusi murid.

Barang Berharga Turut Musnah


Menurut Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Darul Aman(PERSADA Kedah),Saudara Ammar Badruddin ketika dihubungi berkata punca kebakaran adalah disebabkan litar pintas dan telah memusnahkan kompleks pentadbiran sekolah tersebut.Kerugian dianggarkan hampir RM500 000.

”Alhamdullilah semua pelajar selamat dan tiada nyawa yang terkorban kerana api tidak sempat merebak ke bangunan asrama,” ujarnya lagi.Beliau yang juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Insaniah(KUIN) juga akan melancarkan kutipan derma kilat di KUIN bagi membantu meringankan beban guru dan pelajar sekolah terbabit.


Bahagian Pejabat Pentadbiran Yang Terbakar


Sekolah Integrasi Faizin(SAIF) merupakan salah sebuah sekolah di Negeri Kedah yang berteraskan Pendidikan Islam mula beroperasi pada tahun 2006.Sekolah ini ditubuhkan hasil pengembelengan tenaga muda,masyarakat setempat,para intelektual yang inginkan penggabungan atau kesepaduan pendidikan agama,sains,tahfiz ,teknik pembelajaran dan pengajaran yang terarah.Ia terletak di Pekan Guar Cempedak berhampiran dengan balai polis.Sekolah itu sebelum ini masih dalam proses penambahbaikan dan masih memerlukan sumbangan.


Atas dasar keperihatinan ,PERSADA Kedah melalui bendaharinya,Saudara Mohd Taufik Iqbal meminta semua pihak terutamanya mahasiswa Kedah agar sudi menghulurkan sumbangan bagi membantu pihak pentadbiran sekolah membaik pulih sekolah terbabit.

”Saya menyeru kepada semua pihak terutamanya mahasiswa Kedah agar menghulurkan sumbangan bagi membantu pelajar-pelajar untuk meneruskan pembelajaran.Walaupun tidak berada di Kedah tetapi kita masih boleh membantu” ujarnya yang juga merupakan mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa(UIA).


Gambar Hadapan SAIF


Sumbangan boleh dihulurkan terus kepada Tabung Pembangunan SAIF melalui akaun Bank Islam : 02084010028830 atau kepada Tabung Kasih Ummah PERSADA melalui akaun bank Islam ; 12-047-01-004609-2.Sebarang masalah boleh menghubungi Taufik di talian 0135949168




baca lagi...

Wednesday, July 15, 2009

Analisis Manek Urai : Sedikit Motivasi Kepada Barisan Nasional(BN)

Oleh Unit Penerangan,Politik & Hal Ehwal Semasa PERSADA

Kemenangan PAS dalam Pilihanraya kecil Dun Manek Urai semalam sememangnya dijangka.Namun kemenangan majoriti sebanyak 65 undi berbanding 1352 undi pada pilihanraya lalu adalah di luar jangkaaan.Bahkan sebelum itu Pengarah Pilhanraya PAS Negeri,Fatah Harun menyatakan bancian awal oleh jentera pilihanraya kecil tersebut menunjukkan calon Pas menang dengan majoriti 2,000 undi.
Keputusan Rasmi Pilihanraya Kecil Dun Manek Urai

Kemenangan ini sedikit memberi motivasi kepada UMNO-BN sejak mengalami kekalahan besar pada pillihanraya umum 2008 dan rentetan kekalahan pada pilihanraya kecil yang lalu.Mungkin mereka beranggapan mereka telah berjayai menjuarai isu pada kali ini.Tambahan pula kebanyakan pengundi muda dikatakan telah mengundi Barisan Nasional (BN).

Bagi pihak pakatan rakyat khususnya PAS,sebelum menjelang pilihanraya muncul isu yang sering digembar-gemburkan oleh media arus perdana dengan hebat sekali bermula dengan isu kerajaan Perpaduan seterusnya isu perselisihan faham Kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS di Kedah.Namun isu berjaya ditangani dengan baik oleh pimpinan tertinggi pakatan rakyat


Untuk pilihanraya kecil Dun Manek Urai,PAS telah membawa isu tuntutan royalti minyak Kelantan berjumlah RM 1 Billion yang diketengahkan oleh Exco Kerajaan Kelantan,Dato’ Husam Musa.Isu ini sedikit sebanyak memberi kesan berdasarkan fakta dan hujah ilmiah yang diberikan.Isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan rumah mewah bekas Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Mohd Khir Toyo turut menjadi isu hangat kempen.PAS juga menggunakan isu penyalahgunaan jentera, kakitangan kerajaan dan helikopter oleh Tan Sri Muhyidin semasa berkempen.


Suasana di Dun Manek Urai

Bagi pihak UMNO-BN,mereka menggunakan isu kerajaan perpaduan dengan cuba melaga-lagakan Timbalan Presiden PAS,Ustaz Nasharudin Mat Isa dengan Mursyidul Am,Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.Selain itu,mereka juga menggunakan isu latar belakang pendidikan dan karier calon Pas,Mohd Fauzi Abdullah yang merupakan pemborong ikan berbanding calon mereka,Tuan Aziz Tuan Man yang merupakan lulusan Ijazah Pengurusan Teknologi dari Universiti Utara Malaysia.


Berbekalkan modal sebagai kerajaan pusat ,BN turut memainkan isu pembangunan dengan berjanji akan menjadikan Manek Urai sebagai anak emas kerajaan Pusat dan menjadikannya kota agropolitan serta membina beberapa kemudahan seperti jabatan baru dua lorong di Manek Urai Lama,sekolah kebangsaan di Chuchoh Puteri dan masjid baru di Temalir.Isu ini sedikit berkesan kerana BN menang di kawasan Manek Urai Lama.Menyedari faktor agama juga penting,BN juga cuba menyampaikan mesej dengan mengatakan pembangunan dan kemajuan merupakan salah satu tuntutan agama.Mereka juga turut mengadakan solat hajat di beberapa buah peti undi dengan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyidin Yaasin memohon kemenangan calon mereka

Namun beberapa hari sebelum hari pengundian,Tan Sri Muhyidin Yaasin sebenarnya telah membuat satu pengumuman besar iaitu memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walaupun pengumumannya pemansuhan sepenuhnya pada 2012 dan disifatkan agak lambat tetapi telah memberi respon positif pada penduduk luar Bandar.Apabila dilihat kepada komposisi penduduk di Dun Manek Urai ,hampir 99 peratus adalah melayu dan 90 peratus bekerja sebagai petani, nelayan,dan penoreh getah.Mereka boleh diketegorikan sebagai penduduk luar bandar.


Disebalik usaha hebat BN, kita tidak boleh menafikan dakwaan politik wang kepada para pengundi menggunakan badan-badan tertentu.Hal ini kerana semasa perhimpunan agong UMNO pun berlaku secara terang-terangan politik wang maka sukar untuk menafikannya.Namun sampai bilakah wang dan kemewahan akan terus menjadi modal untuk meraih sokongan.Dikuatiri ia akan melahirkan generasi yang cinta kepada kemewahan dan dunia.Tidak kira di pihak PAS atau UMNO-BN, mereka perlu menggunakan pendekatan politik baru dalam menjalankan kempen.Tiada pihak yang boleh mendabik dada kerana masing-masing tidak menang sebenarnya.Mungkin teknik atau kaedah berkempen pada masa sekarang tidak lagi relevan pada masa akan datang.Maka generasi baru khususnya mahasiswa atau pelajar sekarang perlu memikirkannya kerana mereka adalah pelapis kepimpinan pada masa akan datang.




baca lagi...

Thursday, July 9, 2009

PERMADAH JUGA HARAP KEPUTUSAN KABINET TEPAT



Kuala Lumpur,9 Julai: Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya(PERMADAH) telah menghantar email kepada Persatuan Mahasiswa Darul Aman(PERSADA Kedah) hari ini berhubung keputusan kabinet untuk memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.PERMADAH melalui Exco Akademik & Intelektualnya,Mohd khairul nizam Bin Md Isa menyatakan pihaknya berharap agar keputusan kabinet yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyidin Yaasin yang juga Menteri Pelajaran adalah tepat.Menurutnya lagi jika keputusan ini berdasarkan kajian yang menyeluruh dan mengambil pandangan pelbagai pihak ia harus diterima.

“Kita telah mendengar bantahan banyak pihak terutama daripada golongan ahli akademik dan tokoh sasterawan tapi kali ini kita telah diberi bukti dan fakta hasil kajian yang membuktikan kelemahan dasar ini.”. ujarnya lagi yang juga merupakan Mahasiswa tahun dua di Fakulti bahasa & Linguistik.

Menurut Tan sri Muhyidin Yaasin bagi mata pelajaran Matematik , kedudukan murid telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.Jurang pencapaian antara murid antara sekolah Bandar dan luar Bandar dalam mata pelajaran sains dan matematik semakin melebar semasa dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris sejak 2003.Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar Bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Manakala Timbalan Exco Akademik & Intekektual PERMADAH,Nurul Husna Mustaffa pula berpandangan dasar PPSMI mungkin mendapat sokongan daripada golongan bandar tetapi ia telah memberi kesan kepada pelajar luar Bandar.

“Ramai pelajar luar bandar tak mampu kuasai matematik dan sains.Nak faham istilah sains pun susah dalam bahasa Malaysia apatahlagi dalam bahasa Inggeris.Sebenarnya bahasa Inggeris yang perlu dibaiki sistemnya supaya boleh dikuasai bukan subjek lain jadi mangsa.Perancangan teliti perlu dibuat supaya pelajar tidak dijadikan ujikaji.Sekarang pelajar yang tak faham sains dan matematik siapa nak bertanggungjawab?”, ujarnya lagi.

PERMADAH yang juga merupakan sebuah persatuan yang menghimpunkan anak-anak Kedah di Universiti Malaya berharap agar dapat menjalankan kerjasama dengan PERSADA berdasarkan keupaayaan NGO ini yang menghimpunkan mahasiswa Kedah di seluruh IPT dalam Negara dan luar Negara.Saudara Mohd Faris Bin Mohd Zaini yang juga Bendahari PERMADAH menyatakan bahawa mereka bersedia untuk menyumbang buah fikiran dan tenaga bagi menjayakan agenda PERSADA.Beliau yakin PERSADA akan menjadi suatu pertubuhan penting pada masa akan datang.
baca lagi...

Wednesday, July 8, 2009

ISU PPSMI ; HARAP KERAJAAN TIDAK MUNGKIR JANJI



Kuala Lumpur,8 julai : Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA KEDAH) berharap agar kerajaan tidak memungkiri janji terhadap keputusan memansuhkan dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) sepenuhnya menjelang 2012.Menurut Presidennya Saudara Syazwan Bin Ahmad tempoh tiga tahun yang ditetapkan oleh kerajaan mungkin terlalu lama dan banyak perkara boleh berlaku dalam tempoh tersebut.

”Saya menerima positif keputusan ini cuma saya berharap pihak kerajaan tidak berubah fikiran untuk mengadakannya semula dalam tempoh tiga tahun ini terutamanya keputusan ini dibuat hampir dengan hari pembuangan undi Dun Manik Urai” ujarnya lagi.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 oleh bekas Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad itu telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk para tokoh sasterawan,ahli-ahli akademik.badan-badan bukan kerajaan dan juga ibubapa pelajar.Antara tokoh-tokoh yang menentang dasar ini ialah Dato’ A. Samad Said,Datuk Dr. Hasan Ahmad,Datuk Shanon Ahmad,Datuk Noordin Haasan.

Kajian mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa asing itu, dan sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari dua subjek tersebut.Ia akan merugikan generasi akan datang.

Beliau berharap agar kerajaan membuat keputusan atas kepentingan semua pihak dan untuk kepentingan pihak tertentu.Jika kerajaan memungkiri janji mereka akan terima balasannya bah kata sasterawan negara.A. Samad Said ”,Jika masih gagal,ia perlu diterjemahkan dalam pilihanraya sebagai kuasa terakhir.”
baca lagi...

Rusuhan di China : Tindakan Pihak Keselamatan China amat dikesali

Selasa, 7 Julai 2009 – Persatuan Mahasiswa Darul Aman(PERSADA KEDAH) mempertikaikan tindakan keterlaluan Pihak Pasukan Keselamatan China yang melepaskan tembakan membabi-buta dalam menangani suatu perhimpunan tunjuk perasaan oleh penduduk Islam keturunan Uighurs di Wilayah Xinjiang yang melepaskan tembakan kearah penunjuk perasaan.

Menurut Exco Perhubungan & Pengantarabangsaan PERSADA,Saudara Abdul Azim Jamil

“Isu penindasan pemerintah China terhadap penduduk etnik Uighur yang beragama Islam telah lama berlarutan dan tindakan keterlaluan pihak keselamatan China terhadap terhadap penunjuk perasaan amat dikesali”. Beliau yang juga mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia(UTM),Skudai menanggap pihak pemerintah China seolah-olah tidak mengiktiraf kumpulan etnik tersebut.



















Setakat ini dilaporkan sebanyak 140 orang dikatakan maut bahkan akan bertambah manakala 800 lagi cedera. pihak berkuasa China dilaporkan telah menahan sebanyak 1,434 orang yang dipercayai terlibat dalam pergolakan etnik di China.


“Kita menentang keras sebarang bentuk penindasan samaada dari segi ekonomi dan sebagainya terhadap penduduk Islam Uighur sebaliknya menyokong sebarang bentuk usaha kearah pendamaian diantara penduduk Islam Uighur itu dengan pihak kerajaan China.” katanya lagi.


Dilaporkan Penduduk Islam Uighur telah menuduh pihak berkuasa China bertindak keterlaluan dalam menyelesaikan dan menyuraikan penunjuk perasaan secara aman oleh beribu-ribu penduduk dan mereka juga mendakwa mengunakan gas pemedih mata dan melepaskan tembakan membabi buta dalam menyuraikan penunjuk perasaan secara aman.
Kekacauan bermula Ahad lalu apabila sebanyak 1000 hingga 3000 orang berkumpul di People’s Square bagi membantah kematian 25 pekerja kilang Uighur yang dipercayai terbunuh ketika rusuhan di selatan China.

Dalam perkara ini,Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) digesa untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam menangani isu pergolakan etnik minoriti Islam yang dianggap paling buruk di China dalam masa beberapa dekad ini.

OIC sekali lagi dilihat gagal memainkan peranan yang penting ketika berhadapan dengan isu seperti ini. Sikap tunggu dan lihat daripada OIC tanpa mengambil tindakan terhadap permasalahan umat Islam amat mengecewakan.

OIC juga dilihat kurang bertegas dengan negara-negara besar dunia yang menindas umat Islam di dunia ini. Buktinya, setakat hari ini masih lagi tiada laporan media yang dibuat oleh OIC dalam mempertikaikan penahanan umat Islam Uighur yang dibuat tanpa alasan yang kukuh oleh pihak berkuasa China.
baca lagi...

Thursday, July 2, 2009

PERSADA : MT Pakatan Rakyat Digesa Campur Tangan Terhadap Isu di Kedah


Kuala Lumpur : Persatuan Mahasiswa Darul Aman(PERSADA KEDAH) menggesa Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat campurtangan dalam isu DAP di Kedah.Menurut Presidennya saudara Syazwan Bin Ahmad perkara ini harus diberi perhatian kerana ia juga melibatkan kepercayaan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin oleh PAS.Beliau mengakui sedikit terkejut dengan isu tersebut kerana ia bukan sahaja membabitkan Majlis Bandaraya Alor Alor Setar(MBAS) dan pengusaha Rumah Penyembelihan Babi tetapi juga mengheret parti politik.
“Tindakan DAP mungkin mempunyai kaitan dengan isu-isu sebelum ini seperti pemberian kuota 50 peratus milikan Hartanah Bumiputera dan yang terbaru isu perobohan rumah penyembelihan babi oleh MBAS merupakan kemuncaknya”.katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kedah/Perlis Thomas Su yang tidak berpuashati dengan cara kerajaan Negeri pimpinan PAS menangani isu rakyat khususnya bukan Melayu.
DAP juga dikatakan kecewa apabila kerajaan Negeri Kedah tidak melakukan sesuatu untuk menghalang Majlis Bandaraya Alor Setar(MBAS) daripada merobohkan rumah penyembelihan Babi di Kg. Berjaya,Alor Setar.Tempat itu juga mendapat bantahan daripada penduduk sekitar yang tidak selesa dengan kewujudan rumah Penyembelihan tersebut.DAP juga dikatakan tidak berpuashati dengan isu perobohan kuil dan tokong yang didakwa sudah diluluskan oleh MBAS.
“Saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan adil dan bijaksana serta dipertimbangkan daripada segenap sudut”, katanya lagi.Beliau juga menyelar pihak-pihak yang suka bermain api perkauman.Media juga diminta telus dalam melaporkan berita.
baca lagi...