Sunday, May 23, 2010

JAHILIYAH MODEN MENDATANG

Bangi, 23 Mei 2010 - Kebejatan gejala sosial kini menjadi virus yang serius sehingga menjadi pendamik yang semakin parah dan meliputi di setiap ruang lingkup masyarakat. Hari ini kita di serang pelbagai penyakit masyarakat yang meledakkan fenomena jahiliyyah moden. Pergaulan bebas di kalangan remaja, seks bebas, budaya hedonisme yang semakin berleluasa, penyalahgunaan kemudahan teknololgi merupakan beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes pembuangan bayi yang kini semakin membimbangkan.
Isu pembuangan dan pembunuhan bayi mengingatkan kita pada zaman sebelum kedatangan Islam iaitu zaman jahiliyyah. Pada zaman jahiliyyah mereka membuang dan membunuh bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga mereka. Di manakah perikemanusiaan jika bayi yang tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya sebagai suatu amanah yang suci.

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:
"Setiap suami adalah pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (riwayat Al- Bukhari).




Hakikat dan realitinya, pembuangan dan pembunuhan anak pada masa jahiliyyah moden ini bukan hanya bayi perempuan sahaja tetapi bayi lelaki, bukan kerana gusar atau kemiskinan tetapi mereka lakukan itu kerana untuk menutup malu yang menimpa mereka selepas berlaku penzinaan. Lebih menyedihkan lagi anak-anak muda Melayu yang beragama Islam merupakan golongan yang paling ramai terlibat dalam kancah masalah kritikal ini. Sudahlah terlanjur membuat dosa sehingga hamil tanpa ikatan perkahwinan dan seterusnya menambahkan lagi keberatan dosanya dengan membuang dan membunuh bayi yang tidak berdosa, tidak mengenal ibu bapa serta dunia. Mereka dilahirkan bagaikan sampah-sarap yang tiada guna. Zina dan tindakan membuang bayi adalah jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya. Insan yang dianianya dan tidak bersalah itu akan menuntut kekejaman tersebut. Ingatlah..!!!


Firman Allah S.W.T didalam surah an-Nisa’ ayat 93:
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar”.

Ribuan kes pembuangan bayi hasil hubungan luar nikah yang dilakukan pasangan muda-mudi terlanjur dalam perhubungan mereka. Al-Quran dan sunnah acap kali memperingatkan betapa bernilai hidup setiap makhluk Allah S.W.T. Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan akal dalam tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan daripada perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan yang sah. Padahal nafsu manusia tidak akan penah puas dengan apa yang telah dilakukan.




Statistik Pembuangan Bayi

Statistik baru-baru ini menunjukkan peningkatan yang mendadak saban tahun dan menjadi isu yang sentiasa menjadi perhatian di dada-dada akhbar nasional dan media elektronik. Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes, tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). Daripada 83 kes berkenaan, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan. Manakala empat kes pembuangan janin. Amat malang sekali apabila bayi yang tidak berdosa di temui di mati di dalam tong sampah kemudiannya mati terbakar, di dalam semak dan belukar, di temui di dalam sungai mati di makan binatang . Bayi-bayi juga pernah dilaporkan dibuang di dalam tandas sekolah, di dalam masjid dan institusi pengajian tinggi. Jika dulu masyarakat memandang gadis- gadis yang berpeleseran di jalanan banyak memesongkan norma-norma budaya dan larangan dalam agama.Tapi kini, golongan cerdik pandai yang di sanjung di puncak menara gading juga tidak mampu menggunakan akal yang rasional dan bijak untuk mengawal nafsu lalu terjebak dalam perbuatan terkutuk ini. Inilah barah masyarakat di zaman jahiliyyah moden kini.



Menurut Persatuan Peguam Syarie Malaysia, dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007 satu kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari dan yang lebih membimbangkan kejadian ini tidak hanya berlaku di bandar-bandar besar sebaliknya semakin menular di desa dan luar bandar. Ini jelas terbukti apabila sejak akhir-akhir ini kes-kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku di luar bandar.Menurut Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon sebanyak 304 kes buang bayi telah dilaporkan antara tahun 2004 hingga 2007 yang membabitkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala bakinya tidak diketahui jantina kerana mayat reput. Menurut Statistik Ibu Pejabat Bukit Aman pula sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan melayu mencatat jumlah tertinggi iaitu 36%.

Statistik Anak Luar Nikah
Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara sekitar tahun 2000 hingga 2008 terdapat 257,000 kanak-kanak yang didaftarkan tidak mempunyai nama bapa dan yang lebih menyedihkan lagi apabila bagi tahun 1999 hingga 2003 sahaja, 44% anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan.
Jumlah Peningkatan:
2007 16, 100
2008 16, 541 ( Rakyat Malaysia Sangat Subur )
2009 17, 303
Pelbagai cara telah dilaksanakan untuk mengatasi isu serius ini. Peningkatan menubuhkan bilangan pusat-pusat pemulihan akhlak dan perlindungan wanita bukanlah langkah yang perlu di utamakan untuk menangani masalah ini. Tetapi cara yang perlu di usahakan ialah mengurangkan bilangan penghuni di pusat-pusat tersebut. Sampai bilakah masalah ini akan terus-menerus menjadi barah dalam masyarakat?. Melalui pengurangan pembinaan pusat-pusat ini moga ia akan dapat menandakan penurunan peratusan gejala sosial dalam masyarakat kita pada masa kini dan akan datang.

Beberapa Persoalan Yang Perlu diFikirkan Bersama:
- Adakah sistem pendidikan di Malaysia tidak mampu mendidik generasi remaja pada masa sekarang?
- Perlukan sistem pendidikan di Malaysia perlu diubah?
- Bilakah umat Islam akan merasai kehidupan Islam sebenar dari segi ekonomi, politik, sosial dan Negara Islam?

Mencegah Itu Lebih Baik Daripada Mengubati
Menutup lorong maksiat itu lebih baik daripada merawat penyakit yang timbul akibat daripada gejala maksiat yang berlaku.

Firman Allah dalam Surah Al-Israa’ ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”.

Kita tidak menginginkan golongan remaja dan belia ini terus hanyut dalam fenomena jahiliyah moden ini. Mereka adalah generasi yang akan menentukan pembangunan negara pada masa hadapan.Pelbagai usaha perlu dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat kembali memperkukuhkan dan menerapkan nilai-nilai agama dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkahlaku remaja kini selari dengan bertambahnya cabaran yang nilai murni dalam komuniti.



Pihak yang bertanggungjawab seharusnya mengawal sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya penyakit sosial seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks bebas. Penekanan mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni mesti di tingkatkan dan menjadi asas yang penting untuk menangani masalah serius ini.

Artikel Dari
Mohd Shukri Bin Said
( NYDP 1 PERSADA KEDAH )
baca lagi...