Saturday, December 27, 2008

Benarkah Kebimbangan Terhadap PPSMI Berasas?

Assalamualaikum,

Saya sempat membaca buku tulisan cendekiawan Islam awal tahun 1900-an iaitu Abu A'la al-Maududi iaitu Wajib al-Shabab al-Muslim al-Yaum yang bererti 'Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini'. Beliau menyentuh perihal situasi umat di era penjajahan dan memerlukan partisipasi dari golongan pemuda yang bakal menggalas warisan teraju negara. Tidak semestinya pada aspek politik semata-mata. Sebaliknya melibatkan semua bidang sama ada politik, ekonomi, aktivis masyarakat, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Yang pasti, setiap bidang perlu diwarisi oleh golongan muda.


Apa yang ingin penulis bangkitkan di sini ialah berhubung dengan peringatan tentang sesuatu yang perlu kita waspada. Seperti yang disentuh oleh cendekiawan tersebut, antara ancaman yang dihadapi dahulu ialah imperialisme atau kolonialisme. Fahaman ini cuba memastikan biarlah cahaya matahari tidak memancar melainkan ke atas tanah-tanah rampasan mereka. Mereka ingin menjadikan semua daratan yang memberi imbuhan lumayan menjadi milik mereka.


Namun, beliau mengingatkan suatu perkara yang agak ganjil iaitu rampasan tersebut bukanlah sejelik-jelik natijah. Hal ini kerana kezaliman yang lebih buruk ialah mereka melakukan terhadap kita dalam bentuk menaburkan racun-racun tamadun kebendaan, kebudayaan dan pengetahuan sains yang mengingkari kewujudan Tuhan dan moral akhlak yang runtuh.


Barangkali aspek-aspek spesifik yang perlu diambil perhatian iaitu beberapa strategi musuh yang mampu menggugat keteguhan pendirian umat Islam seperti yang digariskan oleh Abu A'la al-Maududi. Antaranya ialah:


PERTAMA: Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara menjadi tujuan penjajahan. Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu.


KEDUA: Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara. Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu. Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini. Barangkali aspek ini yang dibimbangi oleh beberapa ahli akademik berhubung dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).


KETIGA: Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agung dan tamadun mereka yang hebat. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikirannya sehingga cara-cara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kaca mata materialisme barat.


Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.


Harapan sangat tinggi kepada pihak berkuasa, badan-badan bukan kerajaan, institusi-institusi pendidikan, cendekiawan-cendekiawan, ilmuwan akademik dan parti-parti politik dan golongan pelajar untuk bertindak memerah keringat memastikan pembelaan terhadap pegangan tradisi di Malaysia berkekalan.

Wassalam

Mohd Hasrul Bin Shuhari

Exco Pembangunan dan Penyelidikan PERSADA.

http://al-qedahi.blogspot.com/



baca lagi...

Tuesday, December 16, 2008

Lepasan Sekolah Rendah Islam tidak diterima SMKA

SAYA mewakili pelajar Sekolah Rendah Islam di Kedah, terkilan dan kecewa dengan situasi yang berlaku kepada pelajar sekolah rendah Islam yang tidak dapat menyambung pelajaran ke Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Kedah.

Saya difahamkan peraturan ini ditetapkan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Kedah. Keadaan ini berterusan sejak 2006. Pelajar lepasan Sekolah Rendah Islam di negeri ini mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak dibenarkan membuat permohonan meneruskan pengajian di mana-mana empat SMKA di Kedah.

Sebelum 2006, pelajar aliran sama boleh memasuki SMKA seperti lepasan sekolah kebangsaan yang lain .

Sebagai makluman, pelajar cemerlang hanya dapat memasuki Sekolah Agama Negeri saja iaitu Maktab Mahmud yang hanya boleh menempatkan sebilangan pelajar. Pelajar mendapat 5A dalam UPSR tidak mempunyai pilihan lain untuk menyambung pelajaran dalam aliran agama khususnya SMKA.

Mereka mengikuti sukatan KBSR dan menduduki peperiksaan UPSR yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran sama seperti pelajar lain. Mengapa hak mereka dinafi dan berlaku diskriminasi.

Saya berharap pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya demi memartabatkan pendidikan Islam di Malaysia.

WARIS PRIHATIN,
Alor Star, Kedah.
baca lagi...

Friday, December 12, 2008

Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha Mendapat Sambutan Menggalakkan


Alor Star, 11 Disember: Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS). Program anjuran Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) dengan kerjasama Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Y.A.B. Dato Seri Azizan Abd. Razak. Turut hadir ialah Y.B. Dr. Hamdan bin Khalib, Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah.

Menurut Pengarah Program Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha, Saudara Osman Fikhri bin Awang Mina, antara objektif program tersebut ialah untuk menghimpunkan dan memperkenalkan mahasiswa Kedah di bawah satu wadah, iaitu Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA). Selain itu, ia juga bertujuan untuk merapatkan hubungan mahasiswa dengan Kerajaan Negeri Kedah.



Mengulas berkenaan sambutan yang diberikan, Presiden Penaja PERSADA, Saudara Mohd Faisal bin Mustaffa berkata, dengan jumlah hadirin seramai kira-kira 800 orang telah mencerminkan kesediaan golongan belia untuk turut sama menggembleng tenaga dan bekerjasama membantu Kerajaan Negeri Kedah dalam meningkatkan kemajuan dan pembangunan Negeri Kedah dalam segenap aspek. Beliau juga berharap PERSADA dapat bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri dengan menyalurkan sumbangan sama ada dalam bentuk idea, tenaga dan sokongan.

Hadirin yang datang ke program tersebut turut menerima pendedahan dan maklumat baru berkenaan perancangan dan pembangunan yang sedang direncanakan oleh Kerajaan Negeri.

Program yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu berakhir pada jam 2 petang.

baca lagi...