Sunday, April 19, 2009

[Kemas Kini] PERSADA tubuh ‘Skuad Cakna’ pantau prestasi wakil rakyat*

Kuala Lumpur 19 April 11:10 a.m | Presiden Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA), Mohd Faisal Mustaffa pagi ini menafikan kenyataan beliau berkenaan penubuhan Skuad Cakna bagi memantau prestasi seluruh wakil rakyat Negeri Kedah yang dilaporkan portal Mahasiswakini Jumaat lalu dalam posting ‘PERSADA tubuh ‘Skuad Cakna’ pantau prestasi wakil rakyat’.

“Saya menafikan segala kenyataan dalam email tersebut, mungkin ia salah faham pihak tertentu, saya akan dapatkan penjelasan beberapa individu nanti,” jelas beliau melalui panggilan telefon.

Sebelum itu, Mahasiswakini mendapat email dari individu yang menamakan beliau sebagai stringer kepada Persada.

Faisal juga menjelaskan bahawa NGO pimpinan beliau tersebut dalam fasa perbahasan proses pemilihan kepimpinan akan datang. Beliau juga merungkai persoalan ramai berkenaan halatuju beliau selepas bergelar siswazah.

“Secara peribadi, buat masa akan datang saya akan sambung pengajian di peringkat master dan tidak ada kena-mengena dengan perlantikan sebagai setiausaha politik kepada mana-mana ahli parlimen,” jelas beliau.
Menjelaskan isu tersebut, Ketua Editorial Mahasiswakini, Syarifah Balqis Syed Asmuni menyatakan ianya kesilapan teknikal dan memohon maaf atas salah faham tersebut.-mahasiswakini

[Posting Asal]

Persatuan Mahasiswa Darul Aman Nasional (PERSADA) semalam secara rasminya menubuhkan Skuad Cakna bagi memantau prestasi seluruh wakil rakyat Negeri Kedah Darul Aman.
“Skuad Cakna ditubuhkan untuk jadi ‘check-and-balance’ kepada kerajaan negeri untuk pastikan nasib rakyat negeri Kedah (terus) terbela dan menjamin seluruh wakil rakyat yang dipilih benar-benar berfungsi sebagai Yang Berhormat,” jelas Presiden NGO berkenaan, Mohd Faisal Mustaffa.

NGO yang mewakili suara anak muda kerajaan ‘Jelapang Padi’ yang mempunyai 7349 keahlian rasmi memberi keyakinan bahawa berkemampuan dalam menggemblengkan seluruh tenaga tersebut bagi menjalankan misi Skuad Cakna yang ditubuhkan.

Beliau menjelaskan perkara tersebut selepas mengadakan pertemuan empat mata bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau S.Manikumar di Taman Ria di sini hari ini. Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar-tukar idea dan pandangan di samping menggagaskan gagasan baru demi kesejahteraan rakyat Kedah.

Ditanya sama ada PERSADA bersedia untuk mengkritik wakil rakyat Pakatan Rakyat khususnya PAS sekiranya didapati gagal memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, beliau menjelaskan bahawa pihaknya tiada sebarang masalah mengenainya.
”Wakil rakyat PAS bukan maksum dan bukan Nabi, kita semua adalah manusia biasa dan takkan terlepas daripada melakukan kesilapan, jadi kami sememangnya dari dulu lagi sudah bersedia tiga ratus peratus,”jawab beliau sambil ketawa.

Faisal ketika ditanya kemungkinan beliau akan dilantik setiausaha politik kepada seorang Ahli Parlimen di Kedah namun beliau hanya memberi jawapan ‘kita nantikan kejutan baru, kita tunggu dan lihat’.

Terdahulu,PERSADA telah memberikan bantuan kepada S.Manikumar yang telah memenangi Pilihanraya Kecil Bukit Selambau setelah menewaskan calon MIC dari Barisan Nasional dan dilantik sebagai Exco Kedah yang memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Siam, India, Pekerja Ladang serta Perpaduan.-mahasiswakini
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "[Kemas Kini] PERSADA tubuh ‘Skuad Cakna’ pantau prestasi wakil rakyat*"