Sunday, May 3, 2009

Kekal Agama Anak: PERSADA Sokong Bantah Keputusan Kabinet


Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) menyokong penuh bantahan para mufti dan lebih 100 NGO Islam berhubung dengan keputusan Kabinet dalam kes anutan agama anak yang telah diIslamkan oleh bapa mereka.

PERSADA juga menggesa agar kes ini berjalan seperti biasa di mahkamah tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Keputusan Kabinet tersebut ternyata telah mencampuri urusan Mahkamah yang mana ia ada kaitan dengan konsep pengasingan kuasa yang diamalkan di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, berkata Kabinet membuat keputusan itu sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Apa Kata Fuqaha?


Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah.

Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .


Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."


Pandangan Kedua:


Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah.

Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.

Maklumat tambahan berhubung dengan draf penyelesaian tentang isu ini, sila rujuk di link ini
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Kekal Agama Anak: PERSADA Sokong Bantah Keputusan Kabinet"