Sunday, May 24, 2009

Pendidikan di Kedah: Pelajar Sebagai Mad'u...


ALOR SETAR, 23 Mei: Perkembangan pesat negara kini, menuntut pengorbanan dari semua lapisan masyarakat untuk memikul cabaran melakukan yang terbaik di dalam kehidupan seharian dalam konteks pendidikan juga. Menyedari perlunya kemajuan dalam pelajaran, para pelajar sewajarnya mempelajari segala ilmu duniawi dan ukhrawi dengan lebih serius agar menjadi generasi yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah bertitah demikian pada Majlis Idul Ilmi Maktab Mahmud Alor Setar, Jalan Pegawai di sini.

“Semenjak awal tahun 2000 hingga saat ini, kita sering mendengar berita-berita gempar tentang perlakuan berunsurkan jenayah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah begitu mengemparkan, contohnya, masalah gangterisme, membuli, membunuh dan kes rogol yang menjadi-jadi.

“Bagaimanapun, sebelum nasi menjadi bubur dan kerana nila setitik habis susu sebelanga,maka kita hendaklah berusaha mengenalpasti punca permasalahan ini dan seterusnya bertindak dengan penuh tanggungjawab untuk membendungnya,”
titah baginda.

Peranan dari semua pihak termasuklah ibu bapa dan para pendidik amatlah diperlukan untuk mencorak kefahaman ilmu yang tinggi, seterusnya menjana pemikiran pelajar yang kreatif dan kritis, sekiranya berlaku kepincangan dalam memainkan peranan tersebut, maka akan gagal hasrat dan matlamat murni yang diimpikan.

Justeru perhatian yang serius hendaklah diberikan semasa pelajar masih di peringkat sekolah rendah dan menengah lagi agar mereka mampu menghadapi sebarang konflik di hari muka.

Sebelum itu, Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB Dato' Haji Mohamed Taulan Mat Rasul dalam ucapannya menyentuh tentang amanah yang diberikan kepada pendidik untuk mendidik setiap anak didiknya menjadi pelajar cemerlang yang sememangnya menjadi impian setiap pelajar.

“Namun impian ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan sentiasa mengharapkan keredaan Allah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan,” ujarnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang khususnya dan warga Maktab Mahmud amnya hasil daripada ketekunan dan semangat merealisasikan usaha dan harapan memartabatkan ilmu pengetahuan.
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Pendidikan di Kedah: Pelajar Sebagai Mad'u..."