Monday, March 9, 2009

Ke Arah Islamisasi Kebudayaan Kedah



Bertempat di D‘ Chalet Yan, Kedah (Rekreasi Titi Hayun), pada 26 Februari 2009 berlangsung Diskusi Minda Bengkel Hala Tuju kebudayaan Negeri Kedah.

Azizi Hj Abdullah ditugaskan menyampai kertas kerja tentang hala tuju ini. Membentang kertas kerja hampir sejam atas usahasama Majlis Kebudayaan Negeri Kedah di mana Exconya YB Dr. Hamdan Mohamed Khalib (gambar di bawah) sebagai Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan Negeri Kedah, Jabatan Kebudayaan, Jabatan Mufti, Hal Ehwal Agama, Kolej Universiti Insaniah, Pusat Islam Universiti Utara, Pegawai Daerah Yan, dan didaya usaha kuat oleh Dr. Zahidi selaku Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah, diskusi berjalan dengan baik.


Majlis ini juga turut menerima kehadiran dan percambahan minda oleh Prof Abdullah Hasan dari Universiti Perguruan Sultan Idris dan isteri beliau Puan Ainon Mohamad dari PTS dan orang kuat PAKSI.


Beliau yang membentang kertas kerja itu dikatakan tidak bertujuan mencari satu bentuk kebudayaan baru untuk negeri Kedah. Baginya dasar dan bentuk kebudayaan yang sedia ada sudah memadai tetapi haruslah ia ditokok tambah, diawasi dan dipantau dari masa ke semasa.



Ia tidak bermaksud akan wujud satu bentuk baru tetapi cukup sekiranya Kedah dapat mencipta satu imej budayanya yang selaras dengan Islam dan nilai murni. Timbul persoalan: SIAPAKAH YANG MAHU? Atau seperti kata Ali Syariati (gambar di atas), SIAPA YANG MAHU MEMULAKANNYA? Kerana ia sebenarnya sudah ada tetapi diselaputi oleh mereka yang tidak gemar apabila disebut Islam.


Puan Ainon Mohamad dari PTS mencadangkan agar membentuk satu jawatan kuasa kerja bagi mengenal pasti apakah bentuk kebudayaan kini dan dapat mengenal pasti pula program atau acara tahunan yang dibiayai secara rasmi oleh kerajaan. Lainnya beliau berharap satu garis panduan budaya, menghasilkan buku induk agar dapat diikuti oleh pihak Kerajaan Tempatan dan Daerah.


Manakala Prof Dr. Mohd Isa Othman menyarankan supaya forum dan bengkel kebudayaan ini diadakan selalu dan tubuhkan badan pelaksana yang ada kuasa eksekutif. Apapun diskusi pada hari tersebut ternyata menjadi titik tolak bagaimana kebudayaan Kedah tidak akan terbiar, dibiar hanyut begitu saja. Sudah ada tanda-tanda bagaimana ia dikawal dan dibaiki supaya menjadi nilai-nilai murni. Contohnya apabila TV9 membuat ‘Suarasa’ baru-baru ini, di mana persembahan hiburan dapat dibendung.


Insya Allah diskusi itu mencapai tujuannya sebagai permulaan membentuk garis panduan, mengangkat martabat kebudayaan dan mencari nilai kebudayaan yang positif berlandaskan Islam.



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Ke Arah Islamisasi Kebudayaan Kedah"